SEPANG 30 Mac – Pemuda UMNO menggesa kerajaan mengambil langkah lebih berani dan tegas bagi menangani kematian di jalan raya akibat perlakuan pemandu yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk.
Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata, nyawa manusia tidak boleh terus dipertaruhkan dengan hukuman yang tidak memberi kesan pencegahan yang nyata kepada pemandu mabuk di jalan raya.
Katanya, Pemuda sejak awal mendesak agar hukuman terhadap pemandu mabuk diperketatkan walaupun undang-undang di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000.
“Realitinya, ia masih belum cukup kuat untuk mengekang jenayah ini,” katanya mengulas kematian Amirul Hafiz Omar, penunggang motosikal yang dipercayai dirempuh pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu Honda City dipercayai memandu laju, memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
Mangsa tercampak ke atas Perodua Myvi dan meninggal dunia di lokasi kejadian dan hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah.
Akmal yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham berkata, pemergian Amirul Hafiz bukan sekadar satu kehilangan kepada keluarga, tetapi satu lagi peringatan pedih kepada semua tentang ancaman nyata pemandu mabuk di jalan raya.
“Ini bukan insiden terpencil. Terlalu kerap kita mendengar nyawa insan tidak bersalah diragut oleh kecuaian pihak yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk. Lebih membimbangkan, kejadian sebegini seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada golongan terbabit, malah dilihat semakin berleluasa,” katanya.
Justeru, beliau sekali lagi mencadangkan pendakwaan di bawah Kanun Keseksaan bagi kes melibatkan kematian akibat pemandu mabuk, dengan hukuman yang lebih berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman yang setimpal dengan kesalahan tersebut seperti hukuman mati.
Pelaku pula wajib menanggung pampasan mandatori yang signifikan kepada keluarga mangsa, dan sekiranya pelaku tidak berkemampuan, mekanisme tanggungan alternatif termasuk penglibatan keluarga pelaku perlu dipertimbangkan secara adil dan berperundangan.
Beliau turut mencadangkan skim khairat kematian berpusat yang diwajibkan kepada semua pemegang lesen memandu, bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada keluarga mangsa tanpa birokrasi yang melambatkan.
“Jika kesalahan berkaitan dadah dikenakan hukuman berat kerana merosakkan masyarakat, maka perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa juga wajar dipandang dengan keseriusan yang sama – malah lebih, kerana ia melibatkan kehilangan nyawa secara langsung,” katanya.
Beliau juga menggesa Menteri Pengangkutan serta semua Ahli Parlimen, tanpa mengira blok politik, untuk segera membawa usul dan mengambil tindakan legislatif yang tuntas dalam perkara ini.
“Tolong jangan tunggu lagi! Berapa banyak lagi nyawa tidak bersalah perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak? Nilai sebuah nyawa itu tidak ternilai. Jangan sampai kita hanya tersedar apabila ia melibatkan orang yang kita sayangi, tegasnya.
Nnnn
