JAKARTA – Makanan percuma yang diberikan terutamanya untuk murid sekolah di seluruh negara akan diedarkan lima hari seminggu berbanding enam hari bermula esok, sebagai langkah penjimatan sehingga 40 trilion rupiah (RM10.95 bilion).
Timbalan Ketua Agensi Pemakanan Negara, Nanik Sudaryati Deyang, berkata, langkah itu sebagai sebahagian usaha kerajaan melindungi ekonomi terbesar di Asia Tenggara daripada kesan perang di Asia Barat yang meningkatkan harga minyak global.
Program makanan percuma ini dilancarkan tahun lalu, dan inisiatif itu memberi manfaat kepada 61 juta orang termasuk kanak-kanak, bayi serta wanita hamil dan menyusu yang menjadi penerima utama.
Dalam pada itu, Ketua agensi, Dadan Hindayana, mengumumkan pada Ahad, bahawa pengedaran makanan akan disesuaikan mengikut minggu persekolahan lima hari.
Bagaimanapun, katanya penerima di kawasan terpencil atau kawasan dengan kadar kebuluran tinggi akan tetap menerima makanan enam hari seminggu.
“Penyediaan makanan berkhasiat percuma pada Sabtu bagi kawasan berisiko tinggi kebuluran adalah langkah strategik untuk memastikan kanak-kanak menerima nutrisi mencukupi setiap hari.
“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan program ini sampai kepada sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, jurucakap Presiden Prabowo Subianto, Prasetyo Hadi, berkata negara itu bercadang memperuntukkan 80 trilion rupiah (RM18 bilion) bagi melindungi ekonomi daripada kesan perang di Asia Barat, tanpa mendedahkan butiran lanjut.
Prabowo menegaskan program makanan, yang asalnya diperuntukkan sebanyak 335 trilion rupiah (RM91.79 bilion) tahun ini, tidak akan disentuh, sambil menekankan terdapat banyak langkah penjimatan lain yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi menangani tekanan harga.
Kerajaan juga sedang mempertimbangkan membenarkan pekerja bekerja dari rumah satu hari seminggu bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Program makanan percuma ini menerima kritikan susulan beberapa kes keracunan makanan sejak pelancarannya tahun lalu, dengan pengkritik menggesa program digantung kerana kebimbangan mengenai kebersihan.
