KUALA LUMPUR 26 Mac – “Siapa 10 peratus yang terpaksa terjejas kehidupannya?” itu persoalan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh berhubung pelarasan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter tidak menjejaskan 90 peratus rakyat.
Dr Akmal menegaskan kerajaan tidak boleh membiarkan golongan tersebut bergantung kepada angka dan menyesuaikan diri dengan pelarasan kuota yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru beliau menggesa kerajaan memperjelas mekanisme khas bagi membantu golongan 10 peratus yang terjejas susulan pelarasan kuota BUDI95 itu.
“Saya memahami keperluan kerajaan untuk mengurus subsidi secara lebih tersasar dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.
“Namun dalam masa yang sama, keputusan seperti ini perlu dilihat secara lebih menyeluruh, bukan sekadar pada angka peratusan tetapi pada realiti kehidupan sebenar rakyat yang berada di sebalik angka tersebut.
“Kerajaan tegaskan langkah ini tidak menjejaskan 90 peratus rakyat, namun apa perancangan kerajaan untuk golongan 10 peratus yang terjejas ini?” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Akmal, golongan 10 peratus yang terjejas kehidupannya bukan golongan kaya dan terpaksa hidup dengan pilihan yang terhad.
“Mereka ini real people, rakyat yang terpaksa duduk di luar bandar kerana sewa di bandar sudah tidak masuk akal, lalu ulang-alik beratus kilometer setiap hari.
Mereka ini menjadi weekend husband, weekend wife yang berulang-alik merentas negeri demi anak dan keluarga dan bekerja keras ke hulu ke hilir berusaha mencari rezeki bukan untuk mewah tapi hanya untuk cukup,” katanya.
Oleh yang demikian menurut Akmal, tambahan 100 liter itu bukan kemewahan sebaliknya ruang bernafas dan apabila ia dipotong, kehidupan akan menjadi lebih tersepit.
Ini bukan soal 90 peratus vs 10 peratus, sebaliknya ia soal keadilan. Kalau kerajaan betul-betul faham denyut nadi rakyat, mereka akan cakna bahawa dalam situasi seperti ini, yang paling terkesan itu bukan golongan majoriti tetapi minoriti.
“Jangan kita selesa dengan angka. Sebab dalam politik, angka mungkin boleh menenangkan pentadbiran tapi tidak semestinya menenangkan kehidupan rakyat,” katanya.
Dr Akmal juga mengingatkan kerajaan, khususnya Perdana Menteri sebelum berada di Putrajaya mengenai naratif yang dibawa cukup jelas sehingga rakyat terbeli bahawa Malaysia negara pengeluar minyak, bila harga minyak dunia naik, Petronas juga untung besar.
“Maka logiknya mudah. Kalau negara dapat lebihan hasil, maka rakyat juga sepatutnya merasai lebihan itu. Hari ini, dalam keadaan dunia bergolak, harga minyak melonjak, tekanan kos hidup meningkat – ini bukan masa untuk mengetatkan ruang rakyat.
Inilah masa untuk kerajaan tunjuk keprihatinan sebenar. Sekalipun kos import minyak untuk kegunaan domestik juga dijangka naik, saya percaya masih ada lagi lebihan keuntungan dari hasil penjualan minyak kita yang bergred tinggi,” katanya.
Beliau mendesak agar Kerajaan menguruskan lebihan margin keuntungan tersebut untuk disalurkan semula kepada rakyat dan wajib memberi fokus kepada 10 peratus yang sedang terkesan ini.
“Jangan kerana mereka kecil dalam statistik, kita besar dalam mengabaikan mereka.
Perlu diingat, tanpa perang pun mereka sudah berjimat. Tanpa krisis pun mereka sudah berkorban. Ini pula dalam keadaan getir begini.
Jangan sampai dasar kerajaan sendiri menjadikan mereka semakin terjerat. Hakikatnya, saya tidak menolak rasionalisasi tetapi rasionalisasi mesti datang bersama solusi, bukan hilang empati,” katanya.
Akmal menjelaskan, selaku Ketua Pemuda UMNO, beliau tidak sesekali mahu menjadikan isu tersebut sebagai tunggangan politik mahupun menjadikannya untuk menangguk di air keruh.
Namun demikian, beliau bersuara kerana tidak mahu wujud kelompongan dalam dasar diumumkan oleh kerajaan sehingga terlepas pandang nasib mereka atau mengabaikannya atas nama `angka dan statistik.
Nnnnj
