PUTRAJAYA 24 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, meminta umat Islam melaksanakan solat sunat istisqa’ untuk memohon rahmat hujan susulan cuaca panas dan kering ketika ini.
Katanya, usaha itu wajar dilakukan berterusan sebagai tanda keinsafan dan kebergantungan pada Allah SWT.
“Semoga segala doa dan munajat yang dipanjatkan itu diterima serta dimakbulkan oleh Allah SWT, dan dikurniakan hujan yang membawa keberkatan kepada seluruh alam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Kerajaan Kedah akan menganjurkan solat sunat istisqa’ di seluruh daerah pada Khamis ini sebagai usaha memohon hujan susulan cuaca panas melanda negeri itu.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria, berkata langkah itu diambil berikutan beberapa daerah kini berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah celsius.
Beliau berkata, pelaksanaan solat sunat itu akan diselaraskan oleh Pejabat Agama Daerah masing-masing mengikut kesesuaian waktu.
“Setakat ini pembenihan awan di peringkat Pusat yang buat, tetapi di peringkat negeri belum lagi. Tetapi kita cuba buat solat sunat dulu, Insya-Allah kalau hujan boleh imbang sedikit.
Setiap daerah akan anjurkan sendiri pada Khamis ini bergantung kepada keadaan, ada yang buat pagi, petang atau waktu sesuai kerana cuaca sekarang terlalu panas,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Mansor memaklumkan semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan hospital di Kedah berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kes berkaitan cuaca panas.
Semalam, beberapa daerah termasuk Pendang, Pokok Sena dan Baling direkodkan berada pada tahap dua gelombang haba.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan sebanyak 15 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu (berjaga-jaga) dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
