SEOUL – Korea Utara tidak akan mengubah statusnya sebagai negara bersenjata nuklear, mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada Iran, tegas Presiden Kim Jong-un.
Beliau membuat kenyataan itu sehari selepas beliau dilantik semula sebagai ketua badan pembuat dasar tertinggi negara iaitu Suruhanjaya Hal Ehwal Negara.
“Kita akan terus mengukuhkan status negara bersenjata nuklear sebagai satu haluan yang tidak boleh diubah dan meningkatkan perjuangan secara agresif menentang kuasa musuh,” katanya dalam ucapan dasar pada perhimpunan perundangan di Pyongyang.
Jong-un turut menyentuh pelbagai isu, termasuk senjata nuklear, dasar pertahanan, matlamat ekonomi dan hubungan dengan Korea Selatan.
“Kita akan, selaras dengan mandat yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Republik, terus memperluas dan memperkukuh keupayaan pencegahan nuklear untuk pertahanan diri,” katanya, merujuk kepada senjata nuklear.
Katanya , usaha memperluas senjata nuklear bagi mengukuhkan status negara itu sebagai kuasa nuklear adalah wajar.
