1,000 jemaah sertai iftar Masjid Andalusia

KOTA BHARU 21 Feb. – Seperti dua tahun lalu, Masjid Imanul Fa’izin atau dikenali sebagai Masjid Andalusia di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, terus menyantuni jemaah dengan mengadakan majlis berbuka puasa ala Makkah dan Madinah.

Tahun ini sepanjang bulan Ramadan, pihak masjid menyediakan pelbagai menu tradisi Kelantan dengan anggaran kehadiran 1,000 orang jemaah sama ada masyarakat tempatan atau orang luar yang singgah di situ.

Menurut pengasas dan pemilik masjid, Ibrahim Mat Sin, pengunjung akan menikmati jamuan berbuka di dataran masjid, seperti pengalaman berbuka di dataran Masjidilharam atau dataran Masjid Nabawi.

Ibrahim yang juga Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) berkata, juadah berbuka itu disediakan secara gotong royong yang melibatkan 40 orang petugas setiap hari.

“Bagi melancarkan urusan penyediaan makanan ini, pihak masjid menyediakan empat pasukan yang akan menyusun aktiviti masing-masing termasuk ahli jawatankuasa yang akan merancang serta membuat tempahan,” katanya yang turut mengalu-ngalukan jemaah untuk singgah ifrar di situ.

Tiga pasukan lain ialah memasak menu, hidangan dan melayan tetamu serta pasukan persiapan tempat dan pembersihan.

Selesai berbuka, jemaah akan solat Maghrib bersama sehingga di kawasan dataran dan bagi mereka yang berkelapangan boleh terus menunggu untuk solat Isyak diikuti solat sunat Tarawih dan disusuli moreh.

“Untuk menarik ramai jemaah datang sewaktu Subuh, jawatankuasa masjid mencadangkan sahur disediakan untuk jemaah,” katanya.

Untuk rekod iftar pertama berlangsung pada 2024 selepas masjid yang menelan belanja lebih RM7 juta itu dibuka kepada orang ramai pada hari pertama Ramadan dengan kehadiran hampir 2,000 jemaah menunaikan solat Tarawih pertama di situ.

Masjid yang tular kerana kecantikan dan keunikan reka bentuknya itu mula dibina pada tahun 2020, inspirasi daripada Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Idea pembinaannya tercetus hasil pengalaman Ibrahim menziarahi banyak masjid luar negara termasuk masjid dimiliki Sultan Qabus Oman dan Masjid Biru di Turkiye yang terkenal.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment