Amanah sedia hadapi ‘kegilaan Akmal’

SEPANG 20 Feb. – Parti Amanah akan menggerakkan jentera pilihan raya mulai sekarang bagi menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya Barisan Nasional (BN) menolak kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan, demi kepentingan negara, namun mengakui pilihan di tangan BN.

“Kami terus mengharap bahawa keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN.

Tapi pada masa sama Amanah akan gerak jenteranya mulai sekarang untuk hadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti kegilaan Akmal (Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh).

Ini bukan amaran atau cabaran, ianya sekadar “statement of fact” atau menyatakan hakikat,” katanya menerusi Facebooknya.

Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan, yang menjelaskan persoalan rundingan kerusi PH dan BN untuk pilihan raya Negeri Melaka dan Johor.

“Secara tenang Tok Mat menyatakan bahawa keputusan sama ada nak bersama PH atau bersendirian masih belum dibuat. Kalau ikut kenyataan Akmal pula, dia lebih cenderung untuk bersama Pas/PN!

Jawapan sebegini dari Tok Mat jauh lebih matang dan ikhlas berbanding jawapan-jawapan sebelum ini,” kata Khalid yang menyifatkan kerjasama yang diasaskan selepas PRU-15 sangat baik, penuh dengan tolak-ansur dan keikhlasan

Menurut Khalid, tiada sebab BN perlu menolak kerjasama ini dan beliau hairan kenapa BN masih teragak-agak dalam meneruskannya, kerana tiada unsur khianat atau paksaan/bully sepanjang bekerjasama.

“Lainlah kalau kami seperti Pas dan PN yang masyhur dengan khianat dan pemaksaan,” katanya.

Khalid berkata, berdasarkan jawapan yang diberikan Mohamad , Amanah perlu bersiap-sedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan menjelang pilihan raya negeri itu.

“Teringat saya akan kata-kata pegawai ISA ketika saya ditahan dahulu, “pisau di tangan kamu dan buah di tangan kamu, nak potong cantik-cantik atau nak cincang, itu pilihan kamu.

Begitulah keadaannya dengan BN sekarang. Walaupun dilayani dengan baik semasa kerjasama perpaduan ini, terpulang pada BN sama ada hendak teruskan atau sebaliknya,” katanya.

Pada PRN lalu, Amanah hanya menang satu kerusi di Melaka (Bukit Katil) dan satu lagi di Johor (Simpang Renggam).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment