Tindakan Israel jejas usaha diplomatik

HAMILTON – Pelanggaran berterusan rejim Israel terhadap gencatan senjata serta tindakannya di wilayah Palestin yang diduduki menjejaskan usaha diplomatik untuk menamatkan konflik Gaza, kata Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar.

Katanya, di satu pihak, usaha diplomatik dipergiat bagi memperkukuh gencatan senjata, mengurangkan penderitaan rakyat Palestin dan memajukan pelaksanaan pelan komprehensif untuk menamatkan konflik yang disahkan melalui Resolusi 2803 Majlis Keselamatan.

“Di pihak yang lain, pelanggaran berterusan rejim Israel terhadap gencatan senjata, pengilhakan, cubaan serta tindakan menyalahi undang-undang di seluruh wilayah Palestin yang diduduki terus menjejaskan usaha ini dan mengancam prospek keamanan yang adil dan berkekalan,” kata Dar

Beliau berkata demikian pada mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai Palestin.

Tegasnya, Pakistan “kekal komited sepenuhnya dalam usaha diplomatik yang bertujuan untuk menghentikan permusuhan secara kekal serta penyelesaian konflik yang adil.”

Dar mengkritik sekeras-kerasnya langkah terbaharu Israel di Tebing Barat yang diduduki, sambil menyatakan bahawa “keputusan terbaharu Israel yang menyalahi undang-undang untuk meluaskan kawalannya ke atas Tebing Barat amat membimbangkan.”

Beliau berkata dalam kenyataan bersama baru-baru ini, Menteri Luar beberapa negara Arab dan Islam mengecam “sekeras-kerasnya langkah dan keputusan yang bertujuan mengenakan kedaulatan Israel yang menyalahi undang-undang, mengukuhkan aktiviti penempatan haram, mengisytiharkan tanah sebagai “tanah kerajaan” serta menguatkuasakan realiti perundangan dan pentadbiran baharu di Tebing Barat yang diduduki.

“Kami menegaskan bahawa langkah-langkah haram ini adalah terbatal dan tidak sah serta merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Dar juga memberitahu, bantuan kemanusiaan mesti disalurkan dengan selamat tanpa halangan dan proses pembinaan semula perlu dilaksanakan “tanpa pengilhakan, pemindahan paksa atau perubahan terhadap kesatuan wilayah Palestin yang diduduki.”

“Tiada keamanan yang berkekalan tanpa keadilan, tiada kestabilan tanpa kebertanggungjawapan dan tiada penyelesaian mampan tanpa merealisasikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” katanya.

Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak Israel melancarkan serangan genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, dengan laporan pembunuhan, penahanan, pemindahan paksa penduduk dan peluasan penempatan haram di seluruh wilayah itu.

Related posts

Leave a Comment