Pelancong ke India diminta berjaga-jaga

NEW DELHI 29 Jan. – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menggesa rakyat Malaysia yang melancong ke India dan mereka yang menetap di negara itu mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan virus

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya itu menasihatkan mereka yang melawat kawasan yang mempunyai laporan kes virus Nipah supaya memakai pelitup muka di tempat awam bagi mengurangkan pendedahan kepada titisan cecair.

Mereka juga dinasihatkan mengelakkan kawasan sesak jika boleh, mengekalkan kebersihan diri yang ketat, termasuk kerap mencuci tangan, dan mengelakkan makan buah-buahan yang tidak dibasuh atau makanan yang mungkin terdedah kepada pencemaran.

Warganegara Malaysia digalakkan untuk sentiasa maklum dan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang disyorkan demi kepentingan kesihatan dan keselamatan mereka, menurut nasihat itu.

Ia turut memberi amaran supaya tidak bersentuhan dengan haiwan yang sakit atau individu yang menunjukkan gejala seperti demam, sakit kepala, batuk, atau kesukaran bernafas.

Kementerian Kesihatan India mengesahkan dua kes Nipah di negeri bahagian timur, West Bengal. Selasa lalu, dilaporkan wabak berkenaan telah berjaya dikawal.

Namun, wabak itu telah mendorong pihak berkuasa di banyak negara Asia, termasuk Malaysia, untuk mengambil langkah saringan terhadap pengembara yang tiba dari India.

Di BANGKOK, baru-baru ini, seramai 1,700 penumpang yang tiba dari India disaring bagi mengesan virus Nipah.

Menteri Kesihatan Awam Phatthana Phromphat berkata kerajaan meningkatkan pengawasan menerusi kerjasama Jabatan Kawalan Penyakit, petugas kesihatan dan pihak berkuasa lapangan terbang sejak 24 Januari lalu untuk menyaring penumpang yang tiba dari Bengal Barat, termasuk Kolkata.

“Kira-kira 700 penumpang tiba setiap hari dari negeri itu melalui tiga lapangan terbang – Don Mueang, Suvarnabhumi dan Phuket. Setakat ini, seramai 1,700 penumpang telah disaring dan tiada jangkitan dikesan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Kabinet mengenai langkah pencegahan virus Nipah.

Jangkitan virus Nipah adalah penyakit zoonotik yang menular kepada manusia daripada haiwan dan ia boleh merebak dalam kalangan orang ramai melalui makanan yang tercemar atau secara langsung melalui hubungan sesama manusia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

nnn

(Foto PR Thai Goverment)

Related posts

Leave a Comment