SPR daftar 44,042 pemilih Disember 2025

PUTRAJAYA 29 Jan. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), merekodkan 44,042 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam tempoh 1 hingga 31 Disember 2025.

Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 40,482 nama yang didaftarkan dalam tempoh 1 hingga 30 November lalu.

Rekod sebelum ini menunjukkan 40,911 didaftarkan sepanjang Oktober, 42,305 (September); 55,047 (Ogos); 42,464 (Julai); 40,510 (Jun); 35,583 (Mei); 32,566 (April); 39,241 (Mac); 34,889 (Februari) dan Januari 2025 sebanyak 37,683 orang.

Sementara itu, semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2025 (DPT BLN12/2025) kini dibuka selama 30 hari bermula 28 Januari sehingga 26 Februari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Khairul Shahril Idrus berkata DPT BLN12/2025 yang diperaku dan diwartakan semalam turut mengandungi 16,699 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,872 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status.

“SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Disember 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2025,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri http://ppn.spr.gov.my , aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my , aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian 03-88927218.

Khairul Shahril turut memaklumkan sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenarai dalam DPT BLN12/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C manakala yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama mereka boleh mengisi Borang D.

Sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN12/2025, katanya boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau menghubungi talian hotline SPR 03-88927218.

Related posts

Leave a Comment