Jam tangan bertema pusat konservasi

JACOB & CO, jenama jam tangan mewah antarabangsa, memperkenalkan model eksklusif baharu, Vantara yang bertemakan pusat konservasi hidupan liar milik keluarga bilionair terkenal India, Mukesh Ambani.

Model berkenaan yang belum ditawarkan di pasaran dan harga rasmi juga masih belum didedahkan dianggarkan AS$1.5 juta (RM6 juta) turut memaparkan patung kecil Anant Ambani di bahagian tengah jam berkenaan.

Rekaan jam itu turut menampilkan arca singa dan harimau Bengal yang diukir halus, ditempatkan mengelilingi patung kecil berkenaan seolah‑olah menonjolkan peranan Anant sebagai penjaga pusat konservasi tersebut.

Model jam tangan super mewah ini berinspirasikan Vantara – pusat pemulihan hidupan liar seluas 3,500 ekar di Jamnagar, Gujarat – yang menempatkan lebih 2,000 spesies termasuk singa, gajah dan harimau.

Pemilihan tema warna hijau celoreng atau camo pada jam ini pula kena dengan jiwa alam semula jadi yang diperjuangkan oleh pusat konservasi tersebut yang dimiliki Anant dan tidak dibuka kepada umum,

Pusat tersebut pernah menjadi perhatian selepas dakwaan berkaitan pemerolehan serta penjagaan haiwan namun, siasatan pasukan khas dilantik Mahkamah Agung India sebelum ini tidak menemukan sebarang bukti salah laku.

Vantara dirasmikan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Mac tahun lalu, dan turut menjadi antara lokasi bagi acara pra‑perkahwinan mewah Anant Ambani pada 2024 yang menarik kehadiran selebriti Bollywood, bintang antarabangsa seperti Kim Kardashian dan Rihanna serta tokoh korporat dunia termasuk Bill Gates dan Mark Zuckerberg.

Dalam kenyataan di platform media sosial, Jacob & Co menyifatkan jam itu sebagai penghormatan kepada Vantara, dengan patung kecil Anant di tengah permukaan jam itu melambangkan tanggungjawab dan kepemimpinan.

Kegebatan jam ini turut dihiasi 397 batu permata, termasuk berlian, nilam hijau serta garnet, menjadikannya antara model paling sarat perincian yang pernah dikeluarkan syarikat itu.

Nn

Related posts

Leave a Comment