Krisis kemanusiaan paling buruk sejak 1967

AGENSI Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mendakwa Tebing Barat yang diduduki kini mengalami krisis kemanusiaan paling buruk sejak 1967, berikutan pemindahan paksa secara besar-besaran dan kemusnahan meluas di kem pelarian susulan operasi ketenteraan Israel.

Dalam kenyataannya di platform X, Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini berkata seramai 33,000 penduduk kekal dipindahkan secara paksa dari kem pelarian di utara, setahun selepas Israel melancarkan operasi “Iron Wall”.

“Pasukan tentera Israel telah merobohkan sebahagian besar kawasan di kem berkenaan, sekali gus mengurangkan peluang komuniti ini untuk pulih,” katanya.

Lazzarini berkata, pasukan UNRWA “sedang membantu pelarian Palestin yang baru dipindahkan yang kini terjerumus ke dalam kancah kemiskinan serta tidak mempunyai alternatif yang berdaya maju untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebajikan.”

Beliau menegaskan, keupayaan agensi itu untuk meneruskan operasi bergantung kepada “sokongan politik dan kewangan berterusan daripada negara-negara anggota.”

Sejak serangan genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, Israel telah memperhebatkan jenayahnya untuk mengilhak Tebing Barat, khususnya melalui perobohan, pemindahan paksa penduduk Palestin dan peluasan penempatan haram, menurut pihak berkuasa Palestin.

NNN

Related posts

Leave a Comment