KOTA KINABALU 21 Jan. – MIC masih kekal bersama Barisan Nasional (BN) dan setakat ini tidak ada sebarang pemakluman bahawa MIC telah keluar daripada gabungan itu seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Setiausaha Agung Barisan BN, Dr. Zambry Abd Kadir yang mengesahkan demikian berkata BN tidak mengambil sebarang laporan yang mengatakan MIC keluar ataupun tidak, sebagai sumber sahih sehingga dimaklumkan.
“Bagaimanapun, saya yakin bahawa MIC masih tetap bersama dengan BN sehingga kini,” katanya semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau turut menyifatkan bahawa perkara itu hanya sebagai spekulasi dan menegaskan bahawa kerjasama antara parti komponen dalam keadaan baik.
“ Mesyuarat hari ini mereka tidak dapat hadir disebabkan oleh kekangan masa, begitu juga dengan beberapa orang yang lain. Bagaimanapun mesyuarat dapat diteruskan kerana jumlah kehadiran mencukupi.
“Tiada isu berbangkit berkaitan dengan masalah itu yang dibincangkan. BN sentiasa bersangka baik dan mungkin sebarang spekulasi yang dibuat itu kita anggap sebagai hanya satu spekulasi,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan perselisihan dalaman membabitkan rakan komponennya, MIC sudah pun selesai.
Beliau berkata, kesediaan MIC untuk hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 serta mesyuarat pra-majlis membabitkan wakil rakyat BN, menzahirkan kesetiaan parti itu kepada BN.
Sementara itu, Dr Zambry memaklumkan, mesyuarat BN menerima penyertaan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam BN.
BN juga melantik Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup sebagai Pengerusi BN Sabah, Timbalan Pengerusi BN Sabah, iaitu Jafry Ariffin dan Setiausaha BN Sabah, Mohd Hasnol Ayub.
Nnn
