PETALING JAYA 19 Jan – Mulai 1 Februari ini, perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) akan mengenakan kadar tambang tetap RM2 bagi setiap perjalanan berbanding tambang promosi RM1 yang diperkenalkan sejak Fasa Bukti Konsep (POC) pada 2023.
Sehubungan itu, Ketua Strategi dan Perancangan Prasarana Malaysia, Sharul Azwa Abd Rani, berkata, pemegang pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga juga perlu membayar tambang ini bagi setiap perjalanan mereka.
Berbeza dengan perkhidmatan tren dan bas henti-henti yang beroperasi mengikut jadial serta laluan tetap, ROD perkhidmatan bersifat unik, dengan zon perkhidmatan lebih dinamik dan hentian maya yang boleh disediakan mengikut keperluan operasi.
Kadar operasi sebenar ini penting bagi menyokong kesinambungan perkhidmatan serta penambahbaikan berterusan kepada pengalaman pengguna,” katanya dalam taklimat media mengenai perkembangan terkini perkhidmatan ROD, di sini, hari ini.
Prasarana mencatat pertumbuhan positif untuk perkhidmatan ROD dengan jumlah penumpang harian meningkat secara konsisten dan mencecah lebih 19,000 secara keseluruhan pada hujung tahun lalu.
Prestasi ini mencerminkan penerimaan yang semakin menggalakkan terhadap perkhidmatan mobiliti berasaskan permintaan yang fleksibel dan mesra pengguna, khususnya dalam menyokong pergerakan komuniti setempat.
Ketika ini semua van ROD beroperasi di 82 zon perkhidmatan di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Perkhidmatan ini membantu menghubungkan komuniti setempat dengan rangkaian rel dan bas sedia ada, khususnya di kawasan yang tidak diliputi oleh laluan bas tetap atau mempunyai permintaan perjalanan yang lebih bersasar.
Nnn
