Wujudkan sayap digital parti – Azalina

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Ketua Penerangan UMNO, Azalina Othman Said, berkata, UMNO perlu mewujudkan sayap digital khas di peringkat pusat, bahagian, cawangan dan sayap, yang berperanan mempertahan kredibiliti parti, menyampaikan kebenaran dan menyatukan rakyat, khususnya pengundi.

Beliau berkata sayap digital itu perlu wujud sebagai struktur institusi parti yang rasmi dan profesional, yang bukan hanya berfungsi ketika pilihan raya, pemilihan parti atau disebabkan politik semasa, yang hanya membuat poster dan menaikkan gambar.

Menurut Azalina, langkah itu, bagi menangani cabaran menyampaikan maklumat dan menarik pengundi pada zaman digital, terutama pengundi muda, yang kebanyakannya “hidup” di platform digital serta media sosial.

Beliau menarik perhatian bahawa, pengundi PRU16 adalah mereka yang berada di Facebook, Threads, TikTok, X, Instagram, Telegram dan YouTube.

“Kalau dilahirkan tahun 2008, bererti mereka dilahirkan di dalam era digital. Itu sebabnya kita tidak boleh melihat pengundi baru kita ini di Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri.

“Kita memerlukan pendekatan baharu dalam era digital supaya parti kita berada dalam alam yang tidak kelihatan, yang memerlukan kawalan naratif dan penceritaan, di mana kita perlu memberikan pengukuhan imej dari bawah ke atas, melebihi dari atas ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Simposium Politik Era Digital 2026 anjuran Penerangan UMNO Malaysia di sini, hari ini.

Azalina berkata, pengaruh tokoh saja tidak mencukupi untuk memberi kekuatan kepada parti, justeru menjadi tanggungjawab kepada ahli parti untuk menjadikan tokoh itu terkenal di media sosial, dengan cara memberikan komen, tanda suka dan berkongsi mesej yang dimuat naik.

Beliau tidak menafikan, apa yang sering berlaku adalah ketua penerangan yang dilantik (di peringkat akar umbi) mempunyai kemahiran dari segi politik, tetapi tidak menguasai media sosial.

“Jika calon itu ada kelebihan, itu mata tambahan. Bagi yang ada media sosial, senang nak ‘jual’ tapi bagi yang tidak ada, dalam masa kempen 10 atau 14 hari, nak ‘jual’ bukan senang. Ini jadi masalah produk,” katanya.

Azalina berkata, pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 pada November lalu, berdasarkan bacaan sentimen terhadap maklum balas yang diberikan terhadap mesej oleh Pas mengenai calon mereka di media sosial, kebanyakannya datang dari Semenanjung.

Bagaimanapun berdasarkan naratif tanda suka, ia tidak menyatakan dari mana identiti pengguna berkenaan.

“Justeru, tanggungjawab penerangan UMNO Malaysia, negeri, bahagian, cawangan dan sayap, mesti ada segmen digital yang mampu membantu parti, terutama koordinasi jentera, menggerakkan kempen dan mempengaruhi persepsi di media sosial,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment