KUALA LUMPUR 14 Jan. – Dalam tempoh 22 bulan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16, UMNO perlu keluar dari ‘kepompong’ lama dengan mengubah cara mendekati pengundi dengan kaedah politik baharu berteraskan teknologi melalui media sosial.
Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana komunikasi tanpa lisan terutamanya di media sosial ketika ini menguasai lebih 82 peratus daripada sistem komunikasi sedia ada.
Katanya, keutamaan adalah untuk parti khususnya ketua penerangan di semua peringkat memperkasa penjelasan di media sosial bukan sahaja mengenai dasar parti tetapi juga mempertahankan UMNO daripada serangan musuh politik.
Ahli Parlimen Bagan Datok itu menegaskan bahawa dalam medan perang saraf politik masa kini, pendekatan pasif sudah tidak memadai, sebaliknya jentera perlu proaktif menyerang dengan naratif serta fakta yang tepat dan berkesan.
“Dalam perang saraf, kaedah yang paling berkesan untuk mempertahankan diri adalah dengan menyerang.
“Masalah kita sekarang, sudahlah tak menyerang, kalau diserang pun kita tak pertahankan. ..sebab itu kita ke laut,” katanya ketika berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 di Dewan Tun Dr Ismail Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said; Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ketua-ketua penerangan negeri dan jentera penerangan bahagian seluruh negara.
Beliau berkata senario politik sebelum ini yang menyaksikan elemen fitnah menjadi senjata pihak tertentu dalam menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu perlu dijadikan pengajaran.
“Melemparkan kebencian kepada Datuk Seri Najib Razak, kepada UMNO tetapi orang itu apabila jadi pembangkang, menggunakan sosial media cukup hebat.
Apabila jadi kerajaan, tidak lagi menggunakan pendekatan yang sama. Populariti berkurangan. Jadi kita tidak mahu begitu keadaan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, generasi yang lahir 2008 dan generasi yang berada di bawah umur 40, mindanya sudah berbeza, justeru jika tidak menggunakan metodologi atau kaedah pendekatan baharu, kita akan tumpas.
Beliau turut menarik perhatian mengenai beberapa pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Prabowo Subianto yang memanfaatkan platform media sosila seperti TikTok.
“Kita lihat suatu realiti bencinya pengundi-pengundi Amerika Syarikat (AS) kepada (Donald) Trump sangat-sangat luar biasa. Namun tidak ramai jangka Trump boleh menang.
“Malah Trump sangat marah kepada TikTok ketika itu dan dia janji kalau menang (pilihan raya), TikTok akan diharamkan. Jelas TikTok sebagai media generasi baharu sampai sekarang tidak diharamkan. Ertinya kemenangan Trump dibantu oleh TikTok dan media sosial lain,” katanya.
Nnnn
