KUALA LUMPUR 14 Jan. – Program ‘pemanas’ Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada hari kedua hari ini bermula dengan Simposium Politik Era Digital 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, hari ini.
Pada masa yang sama pendaftaran perwakilan dari seluruh negara juga bermula pagi ini di WTC.
Sementara itu, simposium separuh hari anjuran Penerangan UMNO Malaysia itu adalah sebagai platform perbincangan strategik bagi membincangkan landskap politik semasa yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi digital, media sosial serta perubahan corak pemikiran pengundi, khususnya generasi muda.
Program bermula dengan ucapan Sekretariat Penerangan UMNO Datuk Suraya Yaacob disusuli pembentangan “Gerak Kerja dan Analisa PRN Sabah” oleh Ahmad Raziz Rashid.
Ini disusuli tiga sidang sesi pleno, yang menghimpunkan pemimpin parti bagi berkongsi pandangan dan idea ke arah memperkukuh peranan UMNO dalam era digital.
Setiap sesi pleno memberi tumpuan kepada topik berbeza, antaranya transformasi politik digital, strategi komunikasi berkesan dalam media baharu, serta cabaran dan peluang politik nasional menjelang pilihan raya akan datang.
Sementara itu pada sebelah petang, taklimat Presiden UMNO akan diadakan secara tertutup bertempat di Dewan Merdeka, yang dijangka memberi penjelasan serta hala tuju parti menjelang persidangan penuh.
Pada sebelah malam, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan akan merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka.
Semua sayap parti akan menyambung persidangan esok dengan ucapan ketua-ketua sayap di lokasi berasingan diikuti dengan perbahasan para perwakilan.
nnn
