PUTRAJAYA 6 Jan. – Kementerian Kesihatan (KKM) meletakkan sasaran untuk melaksanakan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape sistem terbuka pada tahun ini, kata Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, ia bertujuan mengekang penyalahgunaan cecair yang mengandungi bahan sintetik dalam vape seperti dadah dan KKM tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Berhubung isu rokok dan vape, pendirian saya kekal. Penguatkuasaan penuh akta ini adalah tanggungjawab moral kita untuk melindungi generasi akan datang daripada ancaman penyakit tidak berjangkit (NCD) dan popcorn lung (bronchiolitis obliterans).
“Ini telah pun saya uar-uarkan dahulu terutama vape jenis sistem terbuka dan sebagainya, mungkin kita akan membuat beberapa langkah tetapi langkah pertamanya adalah untuk haramkan jenis sistem terbuka yang disalahgunakan dengan pelbagai dadah sintetik,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini pada Selasa.
Beliau berkata, cadangan pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat dan selepas dimuktamadkan akan dibentang di Parlimen.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, inisiatif Rakan KKM, yang menawarkan perkhidmatan kesihatan bertaraf ekonomi premium di hospital kerajaan terpilih, dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini.
“Menjelang suku pertama 2026, kita bakal menerima pesakit pertama di bawah inisiatif Rakan KKM. Ini adalah model ekonomi premium yang membolehkan subsidi silang berlaku, sekali gus membantu kita mengekalkan pakar perubatan di dalam sistem awam,” katanya.
Nnn
