KUALA LUMPUR 6 Jan. – Dr Mahathir Mohamad, yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), pagi ini, disahkan mengalami patah tulang di bahagian pinggul kanan selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, berkata sehubungan itu bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu dijangka memerlukan rawatan dan pemerhatian doktor di hospital bagi tempoh beberapa minggu lagi.
“Selepas menjalani penilaian perubatan, disahkan bahawa Tun (Dr Mahathir) mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan.
“Tun dijangka dimasukkan ke hospital untuk tempoh beberapa minggu bagi rawatan dan pemerhatian,” katanya melalui saluran kumpulan media rasmi Dr M Media Updates di aplikasi WhatsApp.
Dr Mahathir dilaporkan terjatuh di kediamannya kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum dibawa ke IJN, dua jam kemudian, dalam keadaan sedar sebelum menjalani pemeriksaan lanjut.
Pada 13 Julai lalu, Dr Mahathir pernah dirawat di IJN akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada hari sama.
Sementara itu Bernama melaporkan, anak perempuannya Marina, ketika ditemui, berkata walaupun perkara itu dianggap sebagai serius, bapanya berada dalam keadaan baik mengambil kira faktor usianya.
“Ia suatu yang serius, tetapi tidak berbahaya. Bagi usianya, segala-galanya adalah relatif… beliau baik-baik sahaja.
“Kami akan mengeluarkan kenyataan yang lebih lengkap dengan butiran lanjut kemudian. Kami perlu memastikan semua istilah yang betul digunakan,” katanya.
(Foto fail Fb)
Nnnn
