WASHINGTON – Zohran Mamdani, 34 mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York sejurus sebelum tengah malam kelmarin, menjadi Muslim dan keturunan Asia Selatan pertama yang memimpin bandar terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu.
Beliau yang memenangi pemilihan pada 4 November lalu mengangkat sumpah jawatan dengan meletakkan tangan di atas al-Quran pada majlis yang berlangsung di stesen kereta api bawah tanah Old City Hall yang tidak lagi beroperasi.
Peguam Negara New York, Letitia James, menyempurnakan majlis angkat sumpah itu di hadapan keluarga Mamdani.
Menurut beberapa media AS, naskhah al-Quran yang digunakan dalam majlis itu termasuk milik datuk Mamdani serta satu lagi naskhah milik penulis Arturo Schomburg, yang dipinjamkan oleh Perpustakaan Awam New York.
Beliau pada pemilihan Datuk Bandar itu menewaskan bekas Gabenor New York Andrew Cuomo serta calon Republikan, Curtis Sliwa, sekali gus mencatat kemenangan bersejarah bagi sayap progresif Parti Demokrat.
Sementara itu dalam ucapan di luar City Hall beliau berkata : “Kami akan melakukan sesuatu yang warga New York lakukan lebih baik daripada sesiapa pun, menjadi contoh kepada dunia,”.
Dalam ucapan selama 24 minit itu, beliau berkata: “Bermula hari ini, kami akan mentadbir secara meluas dan berani.”
Sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York, beliau menekankan isu kos sara hidup yang menjadi teras kempen pilihan rayanya, sambil berikrar membantu mereka yang “dikhianati oleh sistem sedia ada.”
Sekutu berhaluan kiri, Senator Bernie Sanders dan anggota Kongres Alexandria Ocasio-Cortez, turut berucap di hadapan kira-kira 4,000 tetamu bertiket.
“Terima kasih kerana memberi kami, dari pantai ke pantai, harapan dan visi bahawa kita boleh membina kerajaan yang berfungsi untuk semua, bukan hanya golongan kaya dan segelintir,” kata Sanders, bekas calon presiden.
Nnn
