Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN

SEPANG 30 Dis. – Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari ini.

Bekas Perdana Menteri itu mengetuai gabungan  yang kini dianggotai Pas dan Gerakan sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan secara rasmi.

Menerusi kenyataan media yang dimuatnaik di Facebook, Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada semua kepemimpinan PN atas sokongan kepada beliau sepanjang memimpin gabungan terbabit selama lima tahun.

“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu yang turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepemimpinan PN.

Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan Pengerusi PN diberi kepada Pas.

Perselisihan hubungan antara Pas dan Bersatu semakin ketara selepas berlakunya pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari Pas, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Situasi bertambah gawat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

Pada masa yang sama Muhyiddin juga didesak Pas untuk mengambil tindakan terhadap lima ADUN Bersatu yang didakwa menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis sebelum ini yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Shukri sebagai Menteri Besar Perlis.

Pas sebelum itu mengumumkan tiga ADUNnya, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) tergugur keahlian susulan SD kepada Raja Perlis.

Nnn

Related posts

Leave a Comment