Pas perlu nilai semula kerjasama dengan Bersatu

SEPANG 29 Dis. – Krisis Perlis adalah peluang terbaik Pas untuk menzahirkan ketegasannya dalam membina budaya politik baharu buat negara iaitu berdisiplin, bersih, berintegriti, adil dan berwawasan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah, berkata, tindakan lima  ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga membawa pertukaran Menteri Besar (MB) amat mendukacitakan.

Katanya, mereka sepatutnya membantu MB sebaiknya untuk memajukan Perlis terapi malangnya mereka memilih untuk berkomplot dan menjatuhkannya.

Justeru, katanya peristiwa itu wajar mendorong Pas untuk menilai semula kerjasama yang dibina bersama Bersatu dan Bersatu juga pasti memikirkan perkara yang sama.

“Pendekatan kepemimpinan tertinggi Bersatu membenarkan rampasan kuasa berlaku boleh ditafsir bahawa mereka juga sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan kerjasama dengan Pas.

Jika Pas kekal tenang dan mengizinkan rampasan kuasa itu, ia akan memberi gambaran bahawa Pas bukan parti yang mudah bertindak atas emosi malahan Pas  mungkin akan dianggap sebuah parti yang mempunyai tahap kematangan politik luar biasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Haim Hilman berkata, untuk membawa perubahan besar dalam landskap politik negara, bersikap tenang dan matang sahaja tidak mencukupi.

Beliau berkata, Pas perlu dilihat dan boleh dirasai oleh ahlinya dan rakyat Malaysia akan kesungguhannya untuk menjadi parti yang berani, tegas dan bersunggh-sungguh membanteras sistem politik negara yang sarat dengan korupsi, rasuah, kronisme, nepotisme, rasis melampau, penipuan, pengkhianatan dan penganiayaan

“Hari ini, majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, anak muda dan mereka yang rasional pasti akan menolak parti politik yang terkenal dengan korupsi, rasuah, kronisme, nepotisme, rasis melampau, penipuan, pengkhianatan dan penganiayaan.

“Perangai hodoh itu jugalah yang membuatkan tahap kepercayaan masyarakat kepada orang politik semakin hari semakin merosot. Telah tiba masanya anak-anak Malaysia terbaik memimpin negara,” katanya.

ADUN Jitra itu berkata, Pas berpotensi untuk muncul sebagai parti yang menerajui pemulihan politik Malaysia dari krisis kepercayaan rakyat terhadap ahli dan parti politik hari ini.

Katanya,  penyatuan inu boleh saja dipanggil Perikatan Nasional, Muafakat Nasional, Perpaduan Nasional atau apa sahaja sekalipun.

“Gagasan ini boleh lebih besar dari penyatuan orang Melayu sahaja. Dengan kata lain, ia boleh juga bergerak ke arah penyatuan semua kaum utama di Malaysia.

“Matlamat pembentukan jajaran baru berteraskan blok parti politik atau menerusi penghijrahan tokoh-tokoh (ADUN, Ahli Parlimen dan kepemimpinan) berkualiti bernaung di bawah payung besar atas agenda bersama iaitu selamatkan Malaysia wajar diusahakan secara serius,” katanya.

Beliau berkata, masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia bangkit membetulkan segala kepincangan dengan memilih pemimpin yang ikhlas dan tekun bekerja untuk rakyat dan negara.

“Jangan bimbang untuk berubah Tinggalkan pemimpin korup, dan sarat dengan pelbagai liabiliti . Hentikan kerakusan mereka . Hanya rakyat boleh melakukannya,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment