Guna logo tanpa kebenaran

PUTRAJAYA 27 Dis. – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul akibat penganjuran Miss & Mister Celebrity International 2025 baru-baru ini.

Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia berkata, pihaknya dan MOTAC tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penganjuran acara itu  yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Sentul pada 14 hingga 22 Disember lalu.

“Penggunaan logo korporat Tourism Malaysia dan logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) oleh pihak penganjur dibuat tanpa kebenaran bertulis rasmi,” kata satu kenyataan hari ini.

Justeru, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap penganjur bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama dan identiti korporat rasmi susulan penggunaan logo tanpa kebenaran.

Sebelum itu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti wanita menerima anugerah dalam acara terbabit.

Ia sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kerana penggunaan logo rasmi MOTAC dan Tourism Malaysia yang turut mengaitkan pihak terbabit dalam penganjuran acara berkenaan.

Malah, ia turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial terutama beragama Islam yang mendakwa acara itu bertentangan dengan agama.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment