SEPANG 27 Dis. – Bersatu tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka di Perlis untuk menandatangani sebarang Akuan Berkanun (SD) bagi menarik sokongan kepada Menteri Besar.
Presidennya, Muhyiddin Yasin berkata, partinya akan mendengar penjelasan daripada lima ADUN Bersatu terbabit yang sebelum ini didakwa berbuat demikian, untuk mengetahui kedudukan sebenar isu itu.
Katanya, Bersatu hanya akan menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis daripada parti itu selepas dititah Istana Perlis untuk berbuat demikian.
“Saya ingin tegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada ADUN Bersatu untuk menandatangani sebarang SD. Bersatu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar daripada parti ini selepas dititah Istana Perlis untuk berbuat demikian.
“Saya yakin parti anggota Perikatan Nasional (PN) mempunyai kaedah masing-masing untuk menguruskan sebarang isu berbangkit dengan berhemah demi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran PN di Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, gabungan itu menghormati kuasa budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis dalam pelantikan Menteri Besar.
“PN juga menghormati kedudukan Pas sebagai parti yang memimpin PN Perlis. Saya berharap isu berhubung kedudukan Menteri Besar Perlis akan dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar PN,” katanya.
Sebaik saja Mohd Shukri Ramli mengumumkan meletak jawatan Menteri Besar Perlis pada Khamis lalu, media melaporkan, Bersatu didakwa sudah mengemukakan tiga nama dalam kalangan ADUN mereka di Perlis kepada baginda untuk dipertimbang sebagai calon Menteri Besar.
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang semalam juga turut mengesahkan mengemuka dua nama ADUN mereka untuk jawatan itu.
Rabu lalu, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani SD yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.
Pas sebelum ini menuntut Bersatu mengambil tindakan tegas kepada ADUN mereka yang menandatangani SD menarik sokongan kepada Menteri Besar, selepas parti itu memutuskan keahlian tiga ADUN mereka tergugur, sekali gus memaksa mereka mengosongkan kerusi DUN disandangnya.
Nnnn
