Ejen pemungut JPJ dilaksana sejak 2016

SEPANG 9 Dis.  – Pelantikan ejen pemungut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dilaksanakan sejak 2016, dan setakat 9 Disember 2025, sebanyak 10 ejen pemungut telah dilantik di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ,  Aedy Fadly Ramli, menegaskan ejen pemungut tidak memiliki sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi jabatan itu.

Sebaliknya beliau dalam satu kenyataan menjelaskan peranan ejen itu hanya membabitkan perkhidmatan JPJ yang ditawarkan dalam saluran tambahan untuk kemudahan pengguna.

Beliau menegaskan semua transaksi rasmi dan saluran utama kekal di bawah kawalan jabatan melalui aplikasi MyJPJ, sistem MySikap dan semua Pejabat JPJ, tanpa campur tangan mana-mana ejen luar.

Justeru dakwaan yang menyamakan pelantikan ejen pemungut sebagai bentuk penswastaan perkhidmatan JPJ adalah disebabkan salah faham mengenai peranan sebenar ejen berkenaan.

Penjelasan JPJ itu dibuat susulan timbul kenyataan beberapa pihak yang mempertikaikan pelantikan Rider Gate Sdn Bhd sebagai ejen pemungut baharu jabatan berkenaan.

“Pengguna tetap mempunyai pilihan untuk memperbaharui LKM secara berasingan dan secara langsung melalui saluran rasmi JPJ,” katanya.

Setakat ini, beberapa syarikat utama telahpun dilantik sebagai ejen pemungut termasuk POS Malaysia Bhd, PUSPAKOM Sdn Bhd, MyEG Services Sdn Bhd, Konsortium Multimedia Swasta Sdn Bhd, TCSENS Sdn Bhd serta TNG Sdn Bhd.

“Pelantikan ini juga tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan,” kata Aedy Fadl.

Beliau turut menjelaskan, mana-mana syarikat berkelayakan boleh memohon menjadi ejen pemungut, dan semua permohonan diproses mengikut prosedur sedia ada, termasuk kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

“JPJ komited memastikan penyampaian perkhidmatan kekal cekap, selamat dan mudah diakses oleh orang ramai melalui pemantauan berterusan terhadap semua ejen pemungut yang dilantik.

“JPJ juga memberi jaminan bahawa integriti data, keselamatan transaksi dan pengalaman pengguna akan terus diperkukuh selaras aspirasi kerajaan mempertingkat mutu perkhidmatan digital sektor awam,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment