Takiyuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

PUTRAJAYA 5 Dis. – Jemaah Menteri membuat keputusan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata ketetapan itu, selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, sejajar keputusan itu, usul dibentang di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara terbabit dirujuk secara rasmi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan, mengikut aturan ditetapkan.

“Keputusan ini diambil selepas mengambil kira pandangan dibangkitkan semasa perbahasan dan untuk memastikan Ahli Parlimen juga diberi ruang untuk didengar dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Selain itu, ia bagi membolehkan sebarang dapatan dibuat jawatankuasa berkenaan yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan kenyataannya yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila di Terengganu dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah ditangguhkan.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), ketika perbahasan usul sebelum itu berkata, beliau sedia dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,

Takiyuddin (PN-Kota Bharu) menuntut satu prosiding yang adil dan diberikan hak bersuara untuk mempertahankan diri terhadap dakwaan yang dibuat sebelum ini dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Kalau sekiranya menteri boleh meminda usul ini dan merujuk saya kepada jawatankuasa. Saya masih lagi seorang ketua whip dan saya akan arahkan rakan untuk terima jadi tidak perlu buat (undi) belah bahagi.

Berikan saya prosiding yang adil, berikan saya hak untuk bersuara dan hak untuk mempertahankan diri sendiri,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment