Shamsul, Albert Tei mengaku tak bersalah

SHAH ALAM 5 Dis. –  Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM64,924 sejak dua tahun lalu.

Dia membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Shamsul Iskandar, 51, sebagai ejen kerajaan iaitu Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri didakwa memperoleh suapan RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong, bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur, daripada Tei Jiann Cheing atau Albert Tei.

Suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan bagi membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Di mahkamah sama, ahli perniagaan, Albert Tei dihadapkan satu pertuduhan memberi rasuah kepada Shamsul Iskandar.

Tei atau nama penuhnya Tei Jiann Cheing, 31, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memberikan suapan RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik seorang wanita, Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur kepada Shamsul Iskandar.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan Tei bagi memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Nn

Related posts

Leave a Comment