KOTA KINABALU 3 Dis. – Muhyiddin Yassin diminta bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk Bersatu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah baru-baru ini dengan meletak jawatan sebagai Presiden parti.
Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Yunus Nurdin mendakwa kekalahan semua 33 kerusi yang ditandingi Bersatu atas tiket Perikatan Nasional (PN) adalah disebabkan kelemahan Muhyiddin.
Katanya, ketika jentera Bersatu melakukan persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya, mereka berdepan pelbagai pergolakan dalaman termasuk pemimpin bahagian dan ahli diambil tindakan malah dipecat kerana mengkiritik kepemimpinan presiden.
Yunus yang juga Ahli Majlis Pimpinan Bersatu juga mendakwa tiada peruntukan kewangan diberikan oleh parti pusat untuk jentera mengatur gerak bagi memastikan kemenangan 33 calon parti itu.
“Ketiadaan sumber kewangan menyukarkan kami malah ada calon terpaksa menggadaikan kereta, rumah dan harta mereka untuk kita berjuang… kita semua menanggung hutang sekarang ini untuk parti… Bersatu Sabah mengalami kegagalan yang saya kira amat memalukan.
Kami mahu presiden parti bertanggungjawab atas kelemahan beliau sebagai pemimpin dan mendesak Presiden untuk berundur, meletakkan jawatan sebagai Presiden p dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN),” katanya pada sidang media di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Sabah di sini.
Selain Bersatu, dua lagi komponen PN iaitu Gerakan tewas di semua tiga kerusi manakala Pas menang satu daripada lima kerusi DUN yang ditandingi.
Yunus juga mendakwa desakan itu turut disokong oleh 20 daripada 24 bahagian Bersatu di Sabah, dan beliau serta penyokongnya bersedia meletak jawatan beramai-ramai jika dikenakan tindakan tidak adil oleh parti.
“Tidak (pernah) terfikir (untuk) keluar (Bersatu) kerana parti ini di Sabah kami yang bina kembali dengan usaha serta sumber kewangan kami sendiri… jadi, kenapa mesti kami (yang) keluar, sepatutnya pemimpin yang lemah itu meletak jawatan, memberi laluan kepada pemimpin yang lebih bagus.
“Kami telah suarakan kepada pimpinan pusat, sepatutnya benda ini tidak berlaku kepada kami terutamanya yang sedang berhadapan dengan kempen pilihan raya… ini memberi kesan yang mendalam terutamanya keyakinan akar umbi dan ahli parti di peringkat negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya masih tidak dapat menghubungi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Dr Ronald Kiandee untuk mengadakan perbincangan lanjut dan memohon beliau supaya tampil menjernihkan keadaan.
Muhyiddin ketika di Sandakan pada 8 November lalu berkata krisis dalaman Bersatu tidak memberi risiko terhadap kerusi yang bakal ditandingi PN kerana rakyat di Sabah lebih memikirkan soal negeri, parti yang bertanding dan apa yang ditawarkan.
Katanya, masalah dalaman dihadapi Bersatu adalah perkara kecil dan lebih mudah untuk diselesaikan, berbanding dengan apa yang rakyat negeri ini mahukan dalam pilihan raya.
“Saya tak fikir. Saya turun ke bawah (Sabah), orang tak cerita soal itu (krisis yang dihadapi Bersatu). Mereka lebih fikir soal negeri, nak tahu apa parti yang bertanding, apa yang kita tawarkan.
“Jadi masalah yang kita hadapi kecil saja berbanding dengan apa yang mereka fikir,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Jentera PN Sabah.
Nnn.
