PM pertahan pembangunan Kota MADANI

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Anwar Ibrahim mempertahankan pembangunan Kota MADANI di Putrajaya yang dikiritik pembangkang dengan menegaskan ia bukan kota mega manakala kosnya menggunakan dana kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kos pembinaan Kota MADANI sebaliknya ditanggung Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH).

Beliau berkata Kota MADANI bakal merangkumi 10,000 kuarters untuk penjawat awam sekali gus menafikan ia bukan sebuah projek tidak penting seperti didakwa pembangkang.

“Dikritik lagi Kota MADANI. Kota MADANI ini Putrajaya Holdings Sdn Bhd yang buat bukan (dari) dana kerajaan.

Keduanya, yang nak marah kepada pegawai kerajaan mengapa? Kota MADANI itu untuk 10,000 rumah penjawat awam di sekitar Putrajaya kerana ketika ini kita tak dapat menampung.

“Ia bukan kota mega. Ini bukan ‘twin tower’ (menara berkembar). Kota ini oleh kerana ia baru didirikan, ia mesti bandar pintar dan mesra dari segi kecerdasan buatan (AI). Apa salahnya?,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mempertikai langkah kerajaan yang sanggup berbelanja besar untuk membina Kota MADANI dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang.

Kota MADANI bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.

Pembangunan itu dirangka dengan integrasi teknologi AI, infrastruktur digital pintar dan sistem mobiliti hijau.

Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.

Fasa pertama pembangunan dijangka bermula pada September ini dan siap menjelang akhir 2027.

Anwar turut mempersoal mengapa Ahli Parlimen pembangkang tidak mempertikai pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merentasi Terengganu dan Kelantan yang menelan kos sehingga RM50 bilion?

“Ini contoh fakta itu dipusingkan. Saya bagi contoh, mengapa Pulau Pinang ada LRT? Mengapa tak disebut ECRL itu kosnya RM40 bilion, RM50 bilion yang memberi faedah kepada semua negara, termasuk Kelantan dan Terengganu?

“Itu kos tinggi puluhan bilion. Kita tak persoal kerana kita anggap itu sudah dilaksanakan. Cuma bezanya kerajaan sekarang dapat mengurangkan kos dan menentukan subkontraktor itu kepada (syarikat) tempatan.

“Pulau Pinang sudah lima tahun tidak ada projek besar. LRT ini kena faham, ia bukan perbelanjaan pembangunan. Kena faham sebahagiannya itu perbelanjaan pembangunan dan sebahagian itu melalui bon, melalui bayaran balik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment