98 maut dalam tahanan Israel

BAITULMUQADDIS – Physicians for Human Rights–Israel (PHRI), pertubuhan hak asasi manusia berpangkalan di Israel, melaporkan sekurang-kurangnya 98 rakyat Palestin dilaporkan maut dalam tahanan Israel sejak Oktober 2023.

Laporan terbaru itu disusun berdasarkan data rasmi Israel, maklumat awam, laporan autopsi, fail perubatan serta testimoni bekas tahanan dan kakitangan perubatan.

Ia mendedahkan corak penderaan sistematik dan pengabaian rawatan kesihatan terhadap tahanan Palestin.

PHRI menyatakan angka kematian sebenar berkemungkinan lebih tinggi memandangkan ramai tahanan dari Gaza masih belum dapat dikesan sejak konflik bermula pada Oktober tahun lalu.

“Penemuan kami menunjukkan bukti kukuh bahawa kematian ini bukan insiden terpencil, sebaliknya mencerminkan dasar sistematik yang membenarkan kekerasan fizikal, penyeksaan dan pengabaian perubatan,” kata Penyelaras Projek PHRI, Oneg Ben Dror, dalam kenyataan.

Antara punca kematian dikenal pasti termasuk kecederaan kepala, pendarahan dalaman, tulang rusuk patah, kekurangan zat makanan teruk, serta kegagalan menerima rawatan penyakit kronik seperti kanser.

PHRI turut menuduh pihak berkuasa Israel menyembunyikan punca kematian dan enggan mendedahkan maklumat lengkap mengenai lokasi serta keadaan tahanan Palestin, khususnya mereka yang ditahan di kem tentera seperti Sde Teiman di Gurun Negev.

Menurut laporan itu lagi,  sejak permulaan perang di Gaza, tentera Israel melaksanakan apa yang digambarkan sebagai dasar penghilangan paksa, menjadikan usaha mengesan tahanan dan mengesahkan kematian mereka semakin sukar.

PHRI menggesa komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan pemantau hak asasi untuk menjalankan siasatan bebas dan mendesak Israel mematuhi undang-undang antarabangsa berkaitan layanan terhadap tahanan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment