Menteri, timbalan disaran ikuti kursus jawab soalan

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mencadangkan menteri dan timbalan menteri mengikuti kursus menjawab soalan yang dikemukakan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Cadangan anggota pembangkang itu susulan kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan yang ‘malas’ menjawab soalan wakil rakyat pembangkang berikutan mereka tidak menyokong Belanjawan 2026, semalam.

Ahmad Fadhli menyifatkan jawapan Ahmad itu suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya cadangkan supaya sedikit kursus perlu diajar kepada anggota Kabinet, menteri dan timbalan menteri untuk menjawab soalan dengan penuh hemah supaya tidak menampakkan kita ini kekurangan ilmu ketika menjawab persoalan.

Tadi saya dengar bagaimana ada timbalan menteri yang malas menjawab soalan sebab pembangkang tidak sokong belanjawan. Ini jawapan sangat tidak bertanggungjawab. Bagaimana seorang timbalan menteri boleh jawab begitu.

“Sokong tidak sokong ini ada peruntukan dalam Perlembagaan. Ada peruntukan di dalam peraturan Dewan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026, peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat, hari ni.

Pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pagi tadi, Ahmad menyindir sikap Ahli Parlimen pembangkang yang meminta pelbagai peruntukan pembangunan di kawasan mereka, namun tidak menyokong Belanjawan 2026.

Semalam Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar menerusi undi belah bahagi dengan 120 ahli bersetuju, manakala 67 tidak bersetuju dan 35 lagi tidak hadir.

Sindiran Ahmad itu sebagai reaksi kepada soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang bertanyakan mengenai perancangan Kementerian Kerja Raya untuk menarik taraf infrastruktur perhubungan ke Mersing.

Pada masa sama, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir menerusi undi belah bahagi semalam, dengan mencadangkan supaya mereka juga tidak diberikan peruntukan.

“Daripada 35 Ahli Parlimen yang tidak datang semalam dan mengundi, seorang sahaja daripada pembangkang sedangkan yang lain adalah daripada kerajaan.

“Kalau kami pembangkang nak tuju soalan dan menteri (atau timbalan menteri) malas jawab kerana tidak sokong belanjawan, ertinya yang tidak datang semalam untuk mengundipun jangan diberikan bajet kerana merekapun tidak mengundi untuk menyokong.

“Termasuklah yang membawa usul… Yang Berhormat Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tidak datang untuk menyokong usulnya sendiri. Apatah lagi Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) tidak mengundi untuk menyokong sebab beliau ahli Dewan Negara,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment