Perjanjian ART ada klausa keluar

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Anwar Ibrahim hari ini menegaskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) ditandatangani berikutan negara memerlukan pelaburan dan perdagangan yang tinggi dari AS.

Perdana Menteri juga menjelaskan perjanjian ART yang ditandatangani turut mempunyai klausa keluar (klausa untuk menamatkan perjanjian).

Justeru Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tidak timbul persoalan menyerahkan kedaulatan perdagangan negara kepada AS susulan perjanjian yang ditandatangani pada 26 Oktober lepas oleh Anwar dan Presiden AS Donald Trump.

“Saya tidak mahu bersikap apologetik. Mengapa kita meterai juga? Ini kerana kita perlu pelaburan dan perdagangan tinggi dengan AS,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu sama ada perjanjian ART akan menguntungkan Malaysia dan mendakwa terdapat 40 klausa yang mengikat Malaysia, selain turut menyamakan perjanjian itu sebagai satu bentuk penjajahan terhadap negara.

Wan Ahmad Fayshal turut mendesak Perdana Menteri supaya membawa perjanjian itu untuk dibahaskan di Parlimen.

Menurut Anwar, perjanjian ART yang telah ditandatangani itu turut diteliti oleh pihak China berkaitan sama ada klausa yang termaktub dalam perjanjian itu akan membatalkan kemungkinan kerjasama bersama mereka.

“Tentunya apa-apa yang dilakukan oleh Amerika itu diteliti ‘line by line’ (dengan terperinci) oleh China. Apakah keputusan seperti dalam semikonduktor, nadir bumi itu akan menghalang, membatalkan kemungkinan untuk bekerjasama dengan dia (China)? Tidak, ada klausa untuk keluar,” kata Anwar.

Anwar turut menggesa ahli Parlimen pembangkang supaya tidak terus berprasangka sebaliknya teliti dahulu setiap butiran perjanjian terbabit secara menyeluruh.

“Bila kita baik dengan China juga diserang, nampak baik dengan AS juga tak boleh, jadi nak baik dengan negara mana? Kelantan dan Kedah sahaja? Saya rayu rakan-rakan sebelah sini dan sana (pembangkang dan kerajaan), ini soal negara.

“Saya bukan muda lagi Tan Sri Yang Dipertua (Johari Abdul), saya kerja sedaya upaya untuk dapat perhatian negara penting untuk faedah serta masa depan negara,” katanya.

Menurut Anwar, pertemuan beliau dan Trump yang berlangsung secara bersemuka sepanjang keberadaan Trump di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan di sini telah membincangkan pelbagai perkara termasuk situasi di Gaza dan aspek perdagangan serta pelaburan.

Anwar turut menegaskan bahawa jemputan kepada Trump untuk hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN adalah atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang berhak menjemput pemimpin dunia untuk turut serta ke sidang kemuncak itu.

“Dalam perjumpaan dengan AS, tentunya fokus kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan termasuk kehadiran pusat data dan kecerdasan buatan yang kita perlukan untuk mengangkat keupayaan kita dalam bidang teknologi,” kata Anwar.

Beliau turut menyangkal tohmahan bahawa perjanjian ART ditandatangani berikutan Malaysia tunduk kepada AS dari aspek perdagangan global.

Anwar menegaskan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN yang baru berakhir juga menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0) yang dipertingkatkan, yang menjadi bukti manfaat hubungan perdagangan antara ASEAN dan China.

“Kalau seperti mana ditohmah seolah-olahnya kita hanya tunduk kepada negara Amerika, tidak mungkin kita boleh meterai perjanjian FTA dengan negara China, yang rangkaian keseluruhannya lebih besar,” kata beliau.

Nnn

Related posts

Leave a Comment