Sangkal AS jejas kedaulatan Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Perjanjian dagangan baharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan kedaulatan Malaysia, sebaliknya memperkukuh kerjasama dua hala, kata Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan.

Beliau menolak pandangan bahawa klausa timbal balik dalam perjanjian itu boleh menekan Malaysia supaya menyertai sekatan dagangan AS pada masa depan.

Pada satu sidang media, beliau menambah bahawa kedua-dua negara sentiasa bersikap terbuka terhadap perbezaan pandangan, namun tetap menghormati kedaulatan masing-masing dalam membuat keputusan bersama.

“Saya berpandangan bahawa perjanjian ini sebenarnya melindungi kedaulatan Malaysia dengan menegaskan bahawa Malaysia membuat keputusan berdaulat untuk menjalin hubungan yang lebih rapat dengan Amerika Syarikat,” katanya.

Menurut Kagan, keputusan Malaysia menandatangani perjanjian itu sejajar dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan keselamatan dengan Washington secara seimbang dan saling menghormati.

Pada Ahad, Malaysia dan AS memeterai perjanjian komprehensif yang bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran, serta mempertingkat daya tahan rantaian bekalan.

Melalui perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran keutamaan kepada eksport barangan perindustrian AS, termasuk bahan kimia, jentera, kelengkapan elektrik, logam, dan kenderaan penumpang, selain produk pertanian seperti tenusu, ayam itik, dan beras.

Sebagai timbal balas, AS akan mengekalkan tarif pada kadar 19% terhadap barangan Malaysia, manakala beberapa produk terpilih akan menikmati kadar sifar (0%) di bawah kategori rakan kongsi sejajar.

Malaysia juga bersetuju untuk tidak mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting dan unsur nadir bumi ke AS, serta akan bekerjasama dengan syarikat Amerika bagi menjamin kestabilan dan kepastian dalam peningkatan kapasiti pengeluaran negara.

Nnn

Related posts

Leave a Comment