Tuntut penjelasan KDN aktiviti mencurigakan

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan apa yang didakwa ‘serbuan ke atas Masjid Rusila’, Takiyuddin Hassan, tampil sekali lagi menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berhubung insiden itu.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), yang membangkitkan insiden tersebut di Dewan Rakyat semalam mengulangi kenyataan berlaku aktiviti mencurigakan berbentuk “ala-komando” di Masjid Rusila, Marang, bulan lalu yang melibatkan anggota APMM.

Bercakap kepada pemberita di Dewan Rakyat, hari ini, ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan perwatakan, perlakuan, dan pergerakan amat mencurigakan sehingga menimbulkan keresahan awam.

Ini termasuk pelbagai andaian terhadap aspek keselamatan Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang dan keluarga (Masjid Rusila, bersebelahan dengan kediaman presiden Pas) serta masyarakat setempat.

Takiyuddin, yang membetulkan tarikh kejadian pada 19 September (semalam disebut 29 September) menyentuh beberapa perkara yang disifatkannya sebagai mencurigakan melibatkan perwatakan, perlakuan, dan pergerakan.

“Kelihatan tiga individu lelaki berpakaian biasa memasuki ruang solat wanita berhampiran tandas wanita, dalam keadaan tergesa-gesa dan mencurigakan; sebuah kereta berwarna perak yang dinaiki dua individu lelaki diletakkan di tepi pagar kediaman ahli Parlimen Marang, bersebelahan ruang hadapan Masjid Rusila.

Kelihatan beberapa kenderaan dan lebih sepuluh invididu lelaki berpakaian biasa sedang mengawasi keadaan di pekarangan luar masjid,” katanya.

Takiyuddin mendakwa rakaman CCTV masjid itu memaparkan tiga individu lelaki berlari keluar daripada masjid dalam keadaan tergesa-gesa seterusnya menaiki sebuah kereta berwarna biru yang sampai pada masa itu untuk meninggalkan perkarangan masjid.

“Segala aktiviti berbentuk ‘penyamaran, penyusupan, dan pelolosan’ yang amat mencurigakan ini, dijalankan tanpa pemakluman atau permohonan kepada pihak pengurusan Masjid Rusila, sebelum hari kejadian,” katanya.

Beliau memberitahu , laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan masjid dan rakaman CCTV itu juga diserahkan kepada polis.

Takiyuddin turut menolak dakwaan bahawa aktiviti itu hanyalah sebahagian daripada simulasi latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Malah beliau memberitahu gambar sekumpulan lelaki berjubah putih yang dikongsikan kepada media — kononnya pelatih sedang membaca al-Quran — sama sekali tidak bersamaan dengan rakaman CCTV di masjid pada tarikh dan masa yang dinyatakan.

Takiyuddin berkata, penduduk setempat juga mengesahkan bahawa tiada sebarang latihan air dijalankan di laut atau pesisir pantai Kampung Rusila pada tarikh berkenaan.

“Berbalik kepada latihan Sere (survival, evasion, resistance and escape) yang biasanya dilakukan di belakang garisan musuh, timbul persoalan — apakah motif latihan ini, siapa musuh yang dimaksudkan, siapa tebusan atau sasaran yang hendak diloloskan, dan mengapa Masjid Rusila dijadikan lokasi latihan?” soalnya lagi.

Semalam, APMM menyatakan bahawa para anggotanya hanya menggunakan masjid itu untuk menunaikan solat dan berehat, dan pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran mereka.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Rosli Abdullah, berkata, pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment