KUALA LUMPUR 23 Okt. – Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kekurangan aspek logistik dan kemudahan penginapan menjadi faktor utama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tidak berlangsung di Putrajaya.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, walaupun Putrajaya mempunyai fasiliti seperti dewan yang memuaskan, namun kapasiti penginapan masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan delegasi luar.
“Ada persoalan tentang mengapa tidak di Putrajaya, saya ingat Menteri Luar sudah jelaskan. Ia adalah kerana logistik tidak cukup, dewan baik tapi kemudahan hotel tidak cukup untuk keperluan pimpinan beberapa negara seperti China atau Amerika Syarikat… sebab bila mereka datang, mereka ambil satu hotel, mereka bukan ambil tiga lantai tetapi satu hotel, jadi tidak cukup.
“Atas sebab itu ia diadakan di Kuala Lumpur, dan berdasarkan pengalaman kita melalui ASEAN-GCC yang diadakan sebelum ini, saya rasa kita mampu dan berupaya melakukan sebaiknya,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak).
Sebelum ini, beberapa pihak turut mempersoalkan keputusan kerajaan menganjurkan sidang antarabangsa itu di Kuala Lumpur, yang mengakibatkan masalah trafik kepada warga di Lembah Klang.
Sementara itu Anwar yakin Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung dengan lancar hasil persiapan rapi pelbagai agensi kerajaan sambil merakamkan penghargaan kepada semua petugas dan kementerian terlibat atas komitmen memastikan penganjuran kali ini dapat berjalan dengan lancar.
Nnn
