KUALA LUMPUR 14 Okt. – Malaysia tidak menyokong sepenuhnya syarat-syarat yang terkandung dalam pelan damai antara Hamas dan Israel yang dipelopori oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebaliknya menegaskan, sokongan Malaysia itu adalah dengan bersyarat, dan ia juga merupakan satu keputusan dan pendirian yang dibuat secara sukar serta dipersetujui pada saat-saat akhir.
Katanya, antara syarat sokongan Malaysia itu adalah mengiktiraf hak Palestin sebagai sebuah negara, menyelesaikan semua masalah termasuk di Tebing Barat dan rakyat Palestin yang terusir diberi hak kembali ke tanah air mereka.
Sokongan bersyarat itu juga menjelaskan mengapa Malaysia tidak dijemput sebagai salah satu daripada 20 negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh untuk menandatangani perjanjian pelan damai Gaza di Mesir, semalam.
Berhubung pelan damai yang dirintis Trump, Anwar berkata, dukungan Malaysia adalah selari dengan pendirian beberapa negara Islam lain iaitu mahu pembunuhan ke atas rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak dihentikan segera.
“Untuk sekarang, kita mahukan serangan di Gaza dihentikan dan bantuan kemanusiaan seperti makanan dan perubatan dibawa masuk segera.
Setakat semalam, sebanyak 167 trak yang bawa bantuan sudah dibenarkan memasuki Gaza walaupun yang dijanjikan sebanyak 600 trak bantuan, dan situasi ini sedang dipantau oleh negara-negara Arab dan negara-negara Islam,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pendirian kerajaan terhadap pelan damai yang dikemukakan oleh Trump berhubung konflik Palestin-Israel serta sejauh mana pelan tersebut selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara itu.
Sementara itu, kepada soalan tambahan Indera Mohd Shahar berhubung langkah yang akan diambil Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berhubung konflik di Gaza dengan kehadiran Trump ke negara ini hujung bulan ini, Anwar berkata, Malaysia akan mengulangi penghargaan terhadap AS yang merintis pelan damai tersebut.
Malaysia juga dengan tegas akan menggesa AS menghalang segala pencerobohan hak dan penjajahan yang berlaku ke atas Gaza serta Palestin.
“Selain itu, negara-negara ASEAN juga seperti pendirian yang telah dikemukakan sebelum ini akan bantu untuk sampaikan kepada Trump bahawa harus lihat kepada fasa-fasa berikutnya iaitu untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh dalam konflik di Palestin,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) sama ada pelan damai tersebut mampu menamatkan konflik di Palestin, Anwar mengakui beliau tidak yakin ia akan berjaya berdasarkan pengalaman sebelum ini.
Katanya, Israel sebelum ini sudah beberapa kali bertindak melanggar pelan damai yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya dalam tempoh beberapa bulan atau tahun ia dicapai.
““Sebab itu bagi pelan damai di Mesir ini, walaupun kita sokong bersyarat, tetapi rakan-rakan kita dari negara Islam memberi jaminan mahukan perjanjian damai ini dilaksanakan dan mereka juga bertanggungjawab pastikan Israel mematuhinya,” katanya.
Nnnn