SEPANG 12 Okt. – Kesemua sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Freedom Flotila Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.
Kumpulan berkenaan yang tiba pukul 4 petang disambut isteri Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Ismail dan beberapa Menteri dan Timbalan Menteri.
Mereka ialah Ketua Misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar serta aktivis, Dr Maziah Muhammad.
Semua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
Sembilan aktivis Malaysia yang ditahan Israel itu dibebaskan Jumaat lalu dan diterbangkan ke Turkiye.
Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan ‘FFC and Thousand Madleens to Gaza (TMTG), dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali, manakala kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.
Sembilan kapal terbabit dalam misi kemanusiaan itu, iaitu Abd Elkarim Eid, Alaa Al-Najjar, Anas Al Sharif, Conscience, Gaza Sunbird, Leila Khaled, Milad, Soul of My Soul dan Umm Saad.
Kesemua sembilan kapal itu dipintas tentera Israel ketika dalam pelayaran di kedudukan 120 batu nautika (zon kuning) dari Gaza.
Semua kapal terbabit kemudian dibawa ke Pelabuhan Ashdod sebelum 145 aktivis dibawa ke Penjara Ketziot untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa Israel.
Nnnn
