NUSEIRAT – Puluhan ribu penduduk Palestin yang keletihan mula kembali ke rumah mereka yang musnah ketika Israel mula melaksanakan gencatan senjata di Gaza dan menarik balik tenteranya.
Tentera Israel berkata, pasukannya sudah menghentikan tembakan sejak tengah hari sebagai persediaan untuk perjanjian gencatan senjata dan pemulangan tahanan.
Tiga jam kemudian, Pentagon mengesahkan Israel sudah menamatkan fasa pertama penarikan balik yang digariskan dalam pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Penarikan balik itu juga menetapkan syarat bagi Hamas membebaskan tahanan yang masih ditahan di Gaza dalam tempoh 72 jam, yang tamat esok .
Tentera Israel bagaimanapun masih menguasai sekitar 53 peratus wilayah Palestin dan rakyat Palestin dinasihatkan untuk mengelak dari kawasan operasi tentera Israel semasa mereka kembali ke Semenanjung Gaza
Sementara itu, Israel mengeluarkan senarai 250 tahanan Palestin yang dirancang untuk dibebaskan bersama-sama dengan 1,700 rakyat Gaza yang ditahan sejak serangan Hamas yang mencetuskan konflik pada 7 Oktober 2023.
Seiring dengan gencatan senjata, rakyat Palestin, yang keletihan akibat dua tahun pengeboman hebat dan kebuluran, mula bergerak dari bandar selatan Khan Yunis menuju rumah mereka yang musnah di utara.
Dalam pada itu, misi Kesatuan Eropah (EU) di sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir juga akan membuka semula laluan pejalan kaki pada 14 Oktober, menurut Itali.
Di bawah perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan oleh Trump, Hamas akan menyerahkan 47 tahanan yang masih hidup dan yang meninggal dunia dari 251 yang diculik semasa serangan pada 7 Oktober dua tahun lalu.
