KOTA KINABALU 8 Okt. – Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menyifatkan pilihan raya negeri (PRN) kali ini sangat kritikal kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih-lebih lagi dengan pelbagai tekanan dari pihak pembangkang.
Bagaimanapun Presiden Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) itu menyatakan keyakinan terhadap kemampuan GRS dan rakan kerjasamanya, Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Katanya, walaupun banyak cabaran dan dakyah tidak baik dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan GRS-PH, jentera gabungan itu dengan sokongan semua pimpinan parti akan memastikan rakyat tidak terpesong.
“Kita sudah sedia dengan jentera pilihan raya GRS dan saya amat yakin jika kita bersatu, kita akan mencapai kejayaan pada pilihan raya itu nanti,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji juga mengingatkan pimpinan Gagasan Rakyat supaya bekerja keras memastikan kemenangan calon GRS-PH pada pilihan raya nanti untuk kembali menerajui kerajaan negeri.
Beliau meminta semua Ketua Bahagian dan pimpinan empat peringkat Gagasan Rakyat supaya tolong calon yang dipilih oleh parti dan calon yang ditetapkan PH.
“Kita mesti menang dalam pilihan raya ini. Saya tahu kita menghadapi tekanan yang begitu hebat, lebih-lebih lagi saya sendiri, termasuk dalam soal memilih calon. Tapi, kita mesti ada tolak ansur dan pengorbanan.
Apa juga keputusan parti, kita mesti junjung dan hormati, kita beri kerjasama kerana yang penting ialah kita mesti menang dan jadi kerajaan,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, selama lima tahun memerintah, Kerajaan GRS sudah berusaha melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan membangunkan ekonomi Sabah dengan sebaik yang terdaya, malah banyak kejayaan yang sudah dilakar.
Bagaimanapun, katanya pembangkang sengaja menafikan kejayaan itu, malah menuduh dan bercakap bermacam-macam yang tidak baik kepada kerajaan, termasuk terhadap dirinya selaku Ketua Menteri.
“Pembangkang bercakap macam-macam tuduhan kepada kita, terutama saya dituduh siang malam. Mereka cakap kerajaan ini gagal, tapi apa gagalnya kalau kita dapat mentadbir negeri dengan baik, malah memperkenalkan hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah.
“Gagalkah kita kalau dulu kutipan negeri hanya RM4 bilion, tapi sekarang naik kepada RM7 bilion dan tahun depan dijangka lebih lagi daripada RM7 bilion,” katanya.
Terdahulu, Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden, Masidi Manjun; Naib-Naib Presiden, Mohd Arifin Mohd Arif, Rubin Balang dan Masiung Banah.
Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita, Redonah Bahanda; Ketua Pemuda, Fairuz Renddan, Ketua Pergerakan Beliawanis, Emmie Martin Idang, Setiausaha Agung, Mohd Razali Razi; Bendahari Agung, Ghulamhaidar Khan Bahadar dan Ketua Penerangan, Nizam Abu Bakar Titingan.
Nnnn
