DUN Sabah bubar, PRN-17 bakal diadakan
KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dibubarkan hari ini sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang tarikhnya akan diputuskan oleh Suruganjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor mengumumkan pembubaran itu pada satu sidang media di sini petang ini.
Pilihan raya kali ini yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari akan menyaksikan pertandingan bagi semua 73 kerusi DUN di mana sebelum pembubaran dikuasai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas berlaku beberapa pergolakan politik.
Dalam PRN mengejut 2020, gabungan longgar antara Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Hajiji Noor, Barisan Nasional (BN) oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menumbangkan kerajaan negeri Warisan–Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ketika itu, Warisan menang 29 kerusi, PN (17), BN (14), PBS (7), calon bebas (3), PKR (2) dan Upko (1).
Gabungan PN, BN dan PBS kemudiannya membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) — memperoleh 38 kerusi, menewaskan blok Warisan–PH yang meraih 32 kerusi.
GRS didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah gabungan politik pada awal 2022.
Susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022, Hajiji bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu keluar parti untuk menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
Pada Januari 2023, Bung Moktar mengumumkan penarikan sokongan Sabah BN–UMNO terhadap pentadbiran Hajiji, sebelum Pakatan Harapan Sabah membantu mengekalkan kerajaan negeri pimpinan GRS.
Nnnn
