KUALA LLUMPUR 4 Okt. – Semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, sudah dibebaskan, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, mereka akan dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel, petang ini, sebelum menuju ke Istanbul, Turkiye dan dijangka mula pulang ke tanah air, esok malam atau lusa.
“Alhamdulillah, sekarang 23 aktivis sedang menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel… (sebelum dibawa) dengan pesawat khas dari Turkiye untuk mengangkut mereka ke Istanbul.
Rundingan saya dengan Ketua Risikan Malaysia yang ada di Ankara (Turkiye) ketika ini untuk menyelaraskan bersama Duta Besar dan Kedutaan Malaysia di Ankara, ” katanya dalam kenyataan secara langsung melalui Facebook beliau, hari ini.
Anwar bersetuju semua aktivis berkenaan diberikan sedikit ruang masa menginap di Istanbul bagi tujuan menyelesaikan beberapa keperluan mereka.
“Lebih baik mereka menginap di Istanbul selama satu, satu hari setengah dulu untuk siasatan kesihatan dan akibat trauma serta tekanan rejim zalim Israel yang sudah bertindak agak keras terhadap mereka… saya setuju,” katanya.
Anwar berkata, terdahulu ada tiga anggota misi GSF dari Malaysia yang keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran dari Israel.
“Namun, pendapat kita ialah untuk mereka bersetuju dan kita bincang juga dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, untuk mengajak semua pulang,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengulangi penegasan beliau bahawa usaha pembebasan berkenaan membabitkan kerjasama erat dengan Turkiye, khususnya komitmen daripada Presidennya sendiri, Recep Tayyip Erdogan.
“Melalui kerjasama penuh Kerajaan Turkiye, ini langkah menyusul rundingan diplomatik yang agak panjang, termasuk (menerusi) Kementerian Luar (oleh Menterinya) Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco (Antonio) Rubio.
“Selain itu, Kerajaan Jordan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; wakil khas Presiden AS, Steve Witkoff; dan saya sendiri dengan Perdana Menteri Qatar serta Ketua Keselamatan Negara Turkiye, Dr Ibrahim Kalin,” katanya.
Nnnnn
