SEPANG 30 Sept. – Badan Pimpinan Negeri (BPN) Terengganu menggesa Lembaga Disiplin Bersatu melaksanakan segera prosiding secara telus, adil dan berlandaskan peraturan sedia ada susulan beberapa aduan pelanggaran disiplin yang didakwa membabitkan sejumlah pemimpin parti itu.
Ketuanya, Razali Idris, berkata tindakan tegas dan pantas adalah penting bagi memastikan parti kekal kukuh, berwibawa serta dihormati.
Beliau mengingatkan bahawa, kelewatan ataupun kelonggaran dalam menangani isu membabitkan pelanggaran disiplin oleh ahli Bersatu hanya akan menjejaskan integriti parti di mata ahli dan rakyat.
“Badan Pimpinan Negeri (BPN) Terengganu mengambil perhatian serius terhadap beberapa aduan pelanggaran disiplin didakwa membabitkan sejumlah pemimpin Bersatu.
Ia didakwa membabitkan pelanggaran perlembagaan parti, keputusan-keputusan yang sudah dipersetujui bersama, serta prinsip disiplin yang wajib dipatuhi semua ahli dan pimpinan,” katanya dalam satu kenyataan.
Razali berkata, BPN Terengganu juga mengecam tindakan pihak tertentu mengeluarkan kenyataan terbuka di media yang jelas tidak menguntungkan parti, malah menimbulkan persepsi negatif terhadap kepemimpinan.
“Sebarang perasaan tidak puas hati atau pembelaan diri mestilah dikemukakan melalui saluran betul, iaitu prosiding di hadapan Lembaga Disiplin, dan bukan menerusi sidang media atau kenyataan terbuka yang boleh melemahkan imej parti,” katanya.
Beliau turut menggesa semua ahli dan pimpinan Bersatu untuk kembali berpegang kepada disiplin parti, mengutamakan kesatuan dan menghormati institusi serta proses dalaman.
Katanya , Bersatu tidak boleh dijadikan medan pertembungan kepentingan peribadi sehingga menjejaskan perjuangan parti sebaliknya kesetiaan kepada parti, kepimpinan dan perjuangan adalah lebih utama daripada kepentingan individu.
“Demi kelangsungan parti, semua pihak mesti kembali kepada semangat asal penubuhan Bersatu, iaitu berjuang untuk rakyat dan negara, bukan untuk diri sendiri,” katanya.
Semalam Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan pada sidang medianya mendakwa Setiausaha Agung Azmin Ali dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz sengaja menyebarkan naratif songsang berhubung usaha mengumpul akuan berkanun (SD).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, SD yang ditandatanganinya bersama 119 ketua bahagian lain menyokong isu calon perdana menteri tidak dibincangkan secara terbuka dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), memandangkan ia bersifat sensitif.
“Namun SD yang ditularkan itu tidak sama dengan apa yang kami tandatangani,” katanya yang turut mendedahkan bahawa Azmin, mengugut beberapa Ketua Bahagian (KB) berhubung isu SD.
Beliau turut mendedahkan telah menerima maklumat baharu berkaitan video intim Azmin yang didakwa sebagai tulen dan sehubungan itu Ketua Pembangkang DUN Selangor itu tidak tidak layak untuk menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video tular itu belum diselesaikan.
Nnnn
