GAZA – Ratusan ribu penduduk Gaza melarikan diri sejak serangan bermula, namun ramai masih terperangkap akibat terlalu letih atau tidak mampu untuk berpindah akibat perjalanan terlalu sukar dan mahal serta tidak tahu ke mana harus dituju.
Dalam serangan darat terbaru Israel bermula Selasa lalu, tentera Zionis sekali lagi mengarahkan penduduk Gaza City untuk berpindah ke arah selatan.
Namun ramai penduduk mendakwa perjalanan terlalu sukar dan mahal memandangkan masa diambil lebih 12 jam untuk sampai ke kawasan selatan yang ditetapkan tentera manakala kos perpindahan juga meningkat mendadak.
Pemilik trak mengenakan caj antara AS$1,500 hingga AS$2,000 (RM7,000 hingga RM9,000) untuk perjalanan sejauh 30 kilometer.
Tentera Israel menggesa penduduk berpindah ke kawasan ‘kemanusiaan’ di Al-Mawasi di pantai, yang dikatakan akan disediakan bantuan, rawatan dan kemudahan asas namun kawasan itu yang diisytiharkan sebagai zon selamat pada awal perang sering diserang, dengan alasan menyasarkan kedudukan Hamas.
Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya yang bertugas menguruskan tindak balas kecemasan terhadap serangan Israel, turut menzahirkan kesedihan apabila menerima mayat abang dan kakak iparnya.
“Kini apa sahaja boleh berlaku, kerana anda mungkin menerima orang tersayang sebagai syuhada atau mangsa cedera. Jenayah penjajahan ini terus berlaku, dan jumlah syuhada terus meningkat,” katanya.
