JEDDAH – Platform digital, aplikasi Nusuk Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah melepasi 30 juta muat turun yang mencatat peningkatan tahunan sebanyak 150 peratus berbanding 12 juta pada 2024.
Menurut kementerian itu lebih 90 peratus pengguna aplikasi itu berasal dari lebih 190 negara, sekali gus menunjukkan capaian global serta peranan pentingnya dalam memudahkan perjalanan haji, umrah dan ziarah bagi jemaah.
Aplikasi Nusuk menawarkan lebih 100 perkhidmatan digital melalui integrasi dengan pelbagai entiti berkaitan haji dan umrah, merangkumi setiap peringkat perjalanan jemaah dari perancangan hinggalah kepulangan.
Antara perkhidmatan disediakan ialah tempahan umrah, lawatan ke Al-Rawdah Al-Sharifah, tempahan perkhidmatan kereta api laju Haramain, penerbangan, hotel serta lawatan pengayaan.
Aplikasi itu turut memperluaskan cirinya, baru-baru ini, dengan menambah kemudahan harian seperti akses kepada al-Quran digital, waktu solat dan arah kiblat.
Kementerian itu turut mengesahkan satu kemas kini utama akan dilancarkan, tidak lama lagi, bagi menyediakan pengalaman pengguna yang lebih lancar dan mesra pengguna, selaras matlamat berterusan aplikasi itu untuk menjadi platform digital Islamik terkemuka di dunia.
