Kepentingan Melayu Kampong Bharu terjamin

PUTRAJAYA 18 Sept. – Jabatan Wilayah Persekutuan menzahirkan komitmen bahawa kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu kekal terjamin dan tidak akan diketepikan dalam perancangan pembangunan di kawasan bersejarah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata setiap langkah pembangunan akan dilaksanakan dengan penuh hemah dan berpaksikan lunas undang-undang.

Beliau berkata demikian bagi menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pandangan Baginda berkenaan sejarah, masa hadapan dan hala tuju pembangunan kawasan Kampong Bharu, Kuala Lumpur.

“Pendirian Kerajaan adalah selari dengan titah Tuanku, iaitu memastikan Kampong Bharu kekal sebagai simbol kelangsungan maruah dan mengambil kira kepentingan orang Melayu di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebarang usaha untuk mengganggu-gugat keharmonian masyarakat atau mempolitikkan isu tersebut adalah tidak wajar.

Terdahulu Sultan Sharafuddin bertitah agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Baru dikendalikan dengan teliti serta berhemah dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah tiada halangan sekiranya kawasan itu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman namun syarat-syaratnya perlu jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Menurut baginda, Kampung Baru ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian hasil kurniaan Sultan Selangor ke-5 Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS).

(Foto FB Dr Zaliha)

Nnn

Related posts

Leave a Comment