Sekat Israel sertai sukan antarabangsa

MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa Israel dikecualikan daripada menyertai pertandingan sukan antarabangsa susulan tindakannya di Gaza.

Pada masa sama Sanchez berkata,  Israel wajar diberi layanan sama seperti Rusia yang dikenakan sekatan selepas pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.

“Israel tidak boleh terus menggunakan sebarang platform antarabangsa untuk membersihkan imejnya,” katanya di hadapan anggota Parti Pekerja Sosialis.

Kenyataan itu mencetuskan reaksi balas daripada Menteri Luar Israel, Gideon Saar yang menyifatkan Sanchez sebagai ‘memalukan’ serta menuduhnya mencetuskan protes pro-Palestin di Madrid.

Protes berkenaan menyebabkan peringkat akhir perlumbaan basikal Vuelta a Espana yang disertai sebuah pasukan Israel terpaksa dibatalkan.

Sebelum itu, Sanchez menyifatkan demonstrasi sepanjang tiga minggu perlumbaan itu sebagai bukti Sepanyol menjadi contoh yang jelas dalam memperjuangkan isu Gaza.

Menurut angka rasmi, hampir 100,000 orang menyertai protes berkenaan yang turut mendapat pujian menteri Kabinet.

Stesen penyiar awam Ireland dan Belanda sebelum ini mengumumkan tidak akan mengambil bahagian sekiranya Israel kekal tersenarai, merujuk kepada kehilangan nyawa dan penderitaan rakyat Gaza yang dianggap “parah” dan “menggerunkan.”

Hubungan diplomatik Sepanyol-Israel tegang sejak hujung 2023 selepas Sanchez menzahirkan kebimbangan berhubung kematian orang awam di Gaza.

Beberapa anggota kerajaan ketika itu juga mendesak hubungan diplomatik dengan Tel Aviv diputuskan.

Pada 2024, Sepanyol bersama Norway dan Ireland mengiktiraf negara Palestin.

Minggu lalu, Sanchez menuduh Israel melakukan genosid serta mengumumkan beberapa langkah termasuk embargo senjata.

Israel membalas tuduhan itu dengan menuduh pentadbiran Sanchez bersikap antisemitik dan menggunakan retorik kebencian.

Tinjauan terbaru Institut Elcano mendapati sekurang-kurangnya 82 peratus rakyat Sepanyol percaya genosid sedang berlaku di Gaza.

Sementara itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, turut menggesa supaya perjanjian perdagangan bebas dengan Israel digantung sambil menyifatkan keadaan kebuluran di Gaza sebagai “buatan manusia.”

Von der Leyen dalam masa sama mengakui kelemahan Eropah untuk bertindak balas secara efektif terhadap tindakan Israel.

Nnnnnn

Related posts

Leave a Comment