Terdapat kesan kecederaan mencurigakan

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Terdapat kesan kecederaan mencurigakan yang mungkin menyebabkan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin.

Peguam keluarga,  Naran Singh Ara Singh, berkata terdapat kecederaan di badan yang mencurigakan dan memerlukan siasatan lanjut.

Penemuan itu adalah hasil proses bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas jasad Syamsul Haris di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur di sini, hari ini.

“Bedah siasat kedua bermula pukul 9 pagi hari ini dan tamat kira-kira pukul 4 petang. Ia dijalankan secara teliti, setiap bahagian badan diperiksa dan dilihat selain proses imbasan atau CT scan turut dilakukan.

Memandangkan kita dapat keputusan kecederaan yang mencurigakan di badan si mati, saya dengan hormatnya memohon Peguam Negara ( Mohd Dusuki Mokhtar) dan Ketua Polis Negara ( Mohd Khalid Ismail) mengambil tindakan segera dan mengadakan pelaksanaan proses inkues kematian dengan serta-merta.

“Saya minta juga Ketua Polis Negara menjalankan siasatan kes ini secara lebih serius. Kita ingin mengetahui punca kecederaan dialami si mati dan bagaimana ia berlaku,” katanya selepas proses bedah siasat kedua selesai dijalankan.

Sehubungan itu, Naran Singh menuntut inkues dan siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti punca-punca kecederaan yang ditemukan itu.

“Perkara pertama bagaimana kecederaan ini berlaku, siapa yang bertanggungjawab dan kita harap mereka dapat diheret ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat. Ibunya yang kehilangan anak dan rakyat inginkan keadilan dalam kes ini.

“Kita harap Peguam Negara akan menjawab permohonan inkues kita pada Selasa ini dan sekiranya tidak dilaksanakan, kita akan mohon kali kedua di Mahkamah Shah Alam,” katanya.

Beliau bagaimanapun meminta pihak media mengajukan soalan kepada pakar perubatan ketika ditanya mengapa bedah siasat kali pertama tidak mengesan kesan kecederaan yang ditemui dalam bedah siasat kedua.

Katanya, ahli keluarga Syamsul Haris setakat ini berpuas hati dengan bedah siasat kali kedua yang dijalankan.

Sementara itu jenazah Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, selamat dikebumikan semula, lewat petang ini selepas tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di sini sekitar 6.09 petang diiringi pasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 19 Ogos lalu, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.

Syamsul Haris yang juga penuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram.

Jenazahnya kemudian dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Selangor.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment