KUALA LUMPUR 28 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 yang dibentang untuk bacaan kali kedua hari ini ditambah baik dengan menaikkan nilai ambang persetujuan untuk diseragamkan ke paras 80 peratus.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata ia sebagai menghormati dan menyantuni pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi melalui sesi perbincangan khas diadakan pada minggu lalu.
“Fasal 19 RUU PSB ini juga akan dipinda untuk menaikkan nilai ambang persetujuan. Kesemua nilai ambang ini diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan.
“Di mana kenaikan nilai ini daripada 75 peratus masih dalam lingkungan yang wajar untuk memberi ruang pertimbangan dalam melaksanakan projek pembaharuan semula bandar secara berintegriti dan adil untuk pihak-pihak yang terbabit, di samping mengambil kira isu hak milik dalam kalangan 20 peratus penduduk,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan pada bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun RUU itu tidak diputus dan diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, di mana sesi perbahasan RUU PSB ini akan disambung semula pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025 yang dijadualkan berlangsung Oktober depan.
Kor Ming menjelaskan isu membabitkan 20 peratus penduduk ini termasuklah hak milik dicagar atau digadai bagi pembiayaan kewangan atau seumpamanya dan isu hak milik yang mengalami Non-Performing Loan (NPL) dari institusi kewangan.
Selain itu, katanya isu suratan hak milik yang belum atau tidak dikeluarkan kepada pembeli atau pemegang perjanjian jual beli dan Isu pemilik asal tidak dapat dikesan.
Aspek nilai ambang persetujuan yang diperuntukkan dalam RUU PSB antara isu yang dipersoal serta dibantah ramai pihak, kerana dianggap tidak adil khususnya terhadap pemilik tanah yang tidak bersetuju dengan rancangan pembangunan semula.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menghormati Perlembagaan Persekutuan dengan memastikan hal-hal di bawah Senarai Bersama dibincangkan dan diputuskan secara harmoni tanpa melanggar hak mana-mana pihak.
Katanya, sebenarnya kawasan-kawasan yang dikenal pasti untuk pelaksanaan pembaharuan semula bandar datangnya dari cadangan pihak berkuasa negeri dan diwartakan oleh kerajaan negeri sendiri, bukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) di bawah KPKT.
“Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Terengganu sudah mengenal pasti 22 tapak, manakala kerajaan negeri Kedah juga mengenal pasti 55 tapak yang berpotensi untuk pelaksanaan pembaharuan semula bandar.
“Perancangan negeri dalam melaksanakan pembaharuan semula bandar dapat dilihat dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pusat Bandar Kuala Terengganu, Terengganu 2030 (Warta No. 438 pada 23/04/2015) dan Rancangan Tempatan Daerah Majlis Bandaraya Alor Setar 2035 (Penggantian), (Warta No. 736 Jld. 61 No. 20 pada 27/9/2018).
“Dengan RUU PSB ini, pelaksanaan pembaharuan semula bandar dapat diselaraskan dengan lebih teratur, melalui Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri. Dan yang paling utama, ia menjamin hak orang berkepentingan secara khusus melalui peruntukan undang-undang,” katanya.
RUU itu mendapat perhatian banyak pihak yang menyatakan bantahan supaya bacaan kali kedua ditangguhkan.
Nnnn
