BERLIN – Rancangan Israel untuk membina penempatan haram di Tebing Barat, turut mendapat bantahan Jerman yang berpendapat langkah itu akan lebih menyekat pergerakan penduduk Palestin.
Jurucakap Kementerian Luar Jerman dalam satu kenyataan, berkata Berlin menolak sekeras-kerasnya kelulusan kerajaan Israel untuk membina ribuan unit penempatan baharu.
Terdahulu Menteri Kewangan sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich mengumumkan rancangan membina ribuan unit penempatan baharu yang dikatakan membahagikan kawasan itu kepada dua bahagian dan mengasingkannya daripada Baitulmaqdis Timur.
Jerman berulang kali menegaskan bahawa pembinaan penempatan haram di Tebing Barat melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Jurucakap itu menambah bahawa tindakan sedemikian merumitkan usaha ke arah mencapai penyelesaian dua negara melalui rundingan dan menamatkan pendudukan di Tebing Barat.
Nnn
