PERMATANG PAUH 11 Ogos – Mempertahankan Jalur Gemilang termasuk dikibarkan mengikut garis panduan bukanlah agenda politik seperti dakwaan DAP Batu Kawan sebaliknya menjadi tanggungjawab rakyat negara ini, kata Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Helmi Elias.
Beliau menegaskan pihak yang melakukan kesilapan perlu bersikap matang, mengaku kesalahan dan menjadikannya pengajaran, bukan mencari ‘kambing hitam’.
Katanya, isu bendera terbalik bukan perkara remeh kerana setiap tahun kesalahan sama berulang, sedangkan Jalur Gemilang adalah lambang maruah, kedaulatan dan penyatuan rakyat Malaysia.
Justeru Pemuda UMNO Pulau Pinang memandang serius kenyataan DAP Batu Kawan yang cuba menuduh pihak lain mempolitikkan insiden pengibarann Jalur Gemilang secara terbalik atau tidak mengikut garis panduan yang tepat.
“Kenyataan tersebut jelas cuba mengalih perhatian daripada isu pokok iaitu kegagalan menghormati simbol kedaulatan negara,” kata Mohd Helmi dalam satu kenyataan hari ini.
DAP Batu Kawan semalam memandang serius kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul sebagai manifestasi jati diri rakyat Malaysia yang merdeka dan mempunyai semangat patriotisme.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen DAP Batu Kawan, Chow Kon Yeow melahirkan rasa kesal apabila insiden mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang tidak berpandukan garis panduan tepat telah dipermainkan untuk tujuan politik yang membawa kesan negatif kepada masyarakat umum.
Mohd Helmi berkata, jika insiden seumpama itu melibatkan pihak lawan DAP, sudah tentu mereka akan mengeluarkan kecaman keras.
“Janganlah apabila melibatkan pihak sendiri, kita pula cuba mempertahankan atau meremehkan pula pihak yang cuba memperbetulkan perkara yang salah,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO bahagian Permatang Pauh itu berkata, mengibarkan Jalur Gemilang secara salah sama ada sengaja atau tidak menunjukkan sikap sambil lewa terhadap protokol negara.
“Ia bukan sekadar kesilapan teknikal tetapi mencerminkan tahap kesedaran dan rasa hormat kepada negara,” katanya.
Mohd Helmi juga pada masa yang sama berkata apa yang berlaku membuktikan bahawa pendidikan patriotisme perlu diperkasakan termasuk kefahaman asas tentang tatacara penggunaan simbol negara itu.
Pemuda UMNO Pulau Pinang juga berharap semua pihak tanpa mengira parti politik memastikan perkara yang sama tidak berulang.
Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO menyambut baik tindakan polis menahan dan menyiasat individu yang memasang bendera terbalik itu di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Setiausahanya Hafiz Ariffin berkata, bagi menghormati proses dan tindakan undang-undang yang telah diambil, pergerakan itu menangguhkan Himpunan Maruah Tanah Airku yang dijadualkan hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau turut menafikan mesej permohonan maaf penangguhan himpunan seperti yang tersiar di media, kerana ia bukan kenyataan rasmi.
“Pemuda tetap tegas dan berpegang teguh kepada keputusan yang dibuat terhadap isu ini tanpa sebarang rasa apologetik,” katanya.
Nnn
